Skip to main content

Bola Sepak

Pendahulu Ligue 1 mudah lolos ke Coupe de France

paredes.jpg
PAU 0 PSG 2 

Thomas Tuchel  menyerahkan lilitan ketua pasukan kepada Leandro Paredes dalam kemenangan Paris Saint-Germain (PSG) ke atas Pau dalam pertemuan Coupe de France , awal pagi tadi, dalam usaha melonjakkan keyakinan pemain tengah itu. 

Pengurus itu mengetepikan Neymar dalam kemenangan 2-0 ke atas pasukan divisyen ketiga itu yang menyaksikan Kylian Mbappe dan Angel Di Maria sekadar memanaskan bangku simpanan dalam kemenangan 2-0 itu untuk mereka mencapai peringkat suku akhir. 

Paredes bergelut untuk membuktikan nilai €40j (RM180j) yang boleh meningkat kepada €47j (RM211.5j) seperti yang diperuntukkan gergasi Ligue 1 itu pada Januari tahun lalu. 

Begitupun, pemain kelahiran Argentina itu membalas kepercayaan Tuchel apabila meledak gol pembukaan -- jaringan kedua bersama kelab berkenaan-- menerusi voli hebat pada minit ke-25.

Sentuhan pemusnah Pablo Sarabia dalam babak kedua pula memastikan mereka meniti landasan kemenangan. 

"Dengan memberikan lilitan kapten kepada Paredes, ia juga bertujuan untuk menunjukkan kepadanya mengenai tahap keyakinan kami terhadapnya," katanya kepada Eurosport. "Dia beraksi dengan baik.

"Anda tidak akan menang jika tidak usaha -- semua orang berpendapat adalah mudah untuk menang, tetapi sebenarnya tidak. Ia memerlukan usaha.

"Lihatlah ketika kami menjaringkan gol, pemain di bangku simpanan juga meraikannya dan ia sesuatu yang bagus. Ia adalah satu petanda yang baik, saya gemar melihat jika ada pemain di bangku simpanan juga turut bergembira, ia sesuatu yang bagus.

"Saya berasakannya setiap hari. Saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap pemain."

PSG kini memimpin Ligue 1 dengan 10 mata dan bakal menghadapi perlawanan getir dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) apabila bertemu bekas kelab Tuchel, Borussia Dortmund, pertengahan bulan depan. 

"Kami tidak memikirkan soal Dortmund -- kami akan menghadapi Montpellier hujung minggu ini dan banyak perlawanan lain lagi jadi kami masih mempunyai banyak masa," tambahnya. 

"Cara terbaik untuk menghadapi perlawanan penting adalah dengan beraksi dalam setiap tiga hari, beraksi dan beraksi lagi. Kami sedang menempuhi tempoh yang baik. Kami meraih keputusan yang baik dan kami memang berhak kerana ia bukannya mudah.

"Di luar sana, akan selalu ada suasana yang menentang kami, jadi adalah bagus untuk mencatat keputusan seperti ini."


Editor: Shaiful Shamsudin 

Advertisement

Must Watch Video