Tiada perasaan cemburu dalam diri penyerang KL Rovers, Amirul Husaini Zamri, melihat kepada pencapaian beberapa rakan seangkatannya dalam kancah Liga Malaysia.

Ia membabitkan pemain seperti Feroz Baharudin, Muhammad Ramadhan Saifullah Usman dan Alif Haiqal Lau yang menyinar bersama pasukan masing-masing.

Feroz umpamanya cukup cemerlang bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) walaupun berdepan persaingan hebat daripada pemain senior tempatan mahupun import di posisi pertahanan.

Namun, situasi berbeza buat Amirul yang kini beraksi bersama KL Rovers biarpun bekas penyerang remaja negara itu pernah menikmati pengalaman bersama skuad utama Harimau Selatan.

Amirul yang beraksi bersama Perak musim lalu antara penjaring terbanyak KL Rovers.

Aksi mantap anak jati Johor itu menarik minat beberapa pasukan Liga A1 lain yang difahamkan mahu menandatanganinya pada jendela kedua perpindahan pemain Liga A1 yang berakhir awal bulan depan.