Skip to main content

Bola Sepak

Pemain naturalisasi tidak jejaskan peluang pemain tempatan -- FAM

sumareh.jpg
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berasakan pemain naturalisasi boleh menjejaskan peluang pemain tempatan menyertai skuad kebangsaan kerana proses kemasukannya dilakukan secara teliti dan mengikut prosedur ditetapkan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata pihaknya mempunyai kumpulan kajian teknikal yang mengkaji dan memastikan pengambilan pemain asing benar-benar memberi kesan positif kepada negara bukan sahaja untuk jangka masa pendek tetapi juga jangka masa sederhana dan panjang.

"Kami perlu ingat prosedur standard naturalisasi yang telah dicadangkan di Pulau Pinang dahulu di mana ia membabitkan semua pihak terlibat. Sama ada kami mengambil seorang atau dua tiga orang pemain naturalisasi itu bergantung kepada kumpulan kajian teknikal kita.

"Kami mengikut peraturan. Sekiranya kami mengambil lima pemain naturalisasi, adakah ia akan menjejaskan pemain tempatan? Rasanya tidak," kata Hamidin.

Turut hadir Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal, Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin dan ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee.

Dalam perkara lain, Hamidin berkata pelbagai penambahbaikan terhadap Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang akan dilakukan dari semasa ke semasa.

"Kami bersetuju untuk memberi bantuan kewangan dan peralatan selain menyelesaikan segera masalah dihadapi.

"FAM kini memainkan peranan lebih besar untuk meletakkan akademi ini berada pada tahap tertinggi kerana ia berfungsi melahirkan pemain elit negara untuk 10 tahun akan datang," katanya.

Sementara itu, Hamidin menyatakan dirinya lebih layak bertanding di peringkat exco berbanding naib presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

"Saya selalu cermin diri saya dan sudah tentu keutamaan saya FAM. Jadi, saya rasa tidak sesuai untuk bertanding naib presiden AFC," katanya.

-- BERNAMA 

Advertisement

Must Watch Video