Tahun demi tahun, musim silih berganti tetapi isu tunggakan gaji terus membelenggu Liga Malaysia (Liga-M) dan perkara ini memberi impak negatif yang mendalam.

Menerusi perkembangan terkini, Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali, tampil mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kelab yang tidak bertanggungjawab untuk melunaskan tunggakan gaji.

"Saya sudah jangkakan perkara ini akan berlaku.

"Daripada segi rentak serta corak permainan, isyarat badan -- saya dah boleh baca ada sesuatu yang tidak kena di dalam pasukan walaupun saya tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi.

"Sebagai seorang yang boleh menilai daripada segi pergerakan pemain dan ternyata ia betul.

"PFAM memang mengutuk sekeras-kerasnya perkara ini yang terjadi berulang-ulang kali," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Selain mahu isu ini diselesaikan serta-merta, Safee turut mendedahkan pemain import berkualiti sudah tidak lagi menjadikan Liga-M sebagai destinasi utama, sebaliknya memilih menyertai Liga Thailand mahupun Vietnam.

Kesan domino itu akan memperlihatkan kancah tempatan tidak akan diwarnai import berkualiti.

"Saya rasa wajar sesuatu yang tidak membayar gaji bukan sahaja dipotong, (malah diberi) amaran keras perlu dilakukan supaya satu pengajaran kepada pasukan.




"Tujuh bulan pemain tidak dibayar gaji, saya rasa ini terlampau diskriminasi kepada pemain, menindas pemain.

"Pemain terpaksa berdiam diri di atas arahan majikan, pengurusan.

"Ini tak wajar berlaku di mana-mana industri sekalipun dan ini satu diskriminasi yang sangat teruk dalam industri," katanya.