Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Pavard tekad bukti kemampuan bersama Bayern

benjamin-pavard-cropped_dwmov2jzx8j21t9wnxdxog8p8.jpg
Pemain baru Bayern Munich, Benjamin Pavard, tidak sabar untuk memadamkan segala keraguan terhadap kemampuannya dan mahu meraih kejayaan bersama kelab gergasi Jerman itu.

Pavard, 22, akan ke Allianz Arena musim depan selepas Stuttgart bersetuju dengan yuran perpindahan yang dilaporkan berjumlah EUR35 juta (RM162 juta).

Bayern terus mengikuti perkembangan pertahanan serba boleh itu walaupun dia melalui musim yang sukar selepas menjulang Piala Dunia bersama Perancis.

Stuttgart, yang menduduki tangga ketujuh Bundesliga musim lalu, kini bergelut di zon penyingkiran tetapi Pavard tetap yakin dia boleh menyesuaikan diri dengan tekanan yang terus diterima untuk beraksi di peringkat lebih tinggi.

"Saya sentiasa mempercayai kemampuan sendiri," katanya.

"Ia tidak bermaksud saya berbangga tetapi saya memiliki keyakinan dalam diri sendiri.

"Saya tidak melihat kepada sebarang komen tetapi hanya bermain bola sepak dan memberikan segalanya.

"Saya akan buktikan kepada semua bahawa kemampuan saya tidak boleh diragui."

Pavard akan beraksi bersama rakan senegara, Corentin Tolisso, di Bayern tatkala seorang lagi bintang Perancis yang merupakan bek kiri Atletico Madrid, Lucas Hernandez, kini dikaitkan dengan perpindahan ke Bavaria.

Perancang Les Bleus, Florian Thauvin, turut dikatakan menarik minat Bayern dan Pavard gembira untuk mengalu-alukan kedatangan mereka.

"Mereka adalah kawan-kawan saya, sangat rapat, jadi saya akan gembira jika Hernandez dan Thauvin menyertai Bayern," tambah Pavard.

"Jika pihak kelab bertanya kepada saya tentang mereka, saya akan katakan perkara yang bagus."

Advertisement

Must Watch Video