Skip to main content

Bola Sepak

Patrick Ronaldinho kembali warnai Liga Malaysia bersama Seoul Phoenix

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

patrick-ronaldinho.jpg
Seoul Phoenix menjadi pasukan jemputan luar negara pertama beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro, sekali gus menjadikan saingan liga berkenaan lebih berdaya saing musim ini.

Lebih menarik, kelab yang kini berpangkalan di Lembah Klang itu akan diperkuatkan bekas penyerang prolifik PKNS, Patrick Ronaldinho Wleh, yang kali terakhir beraksi dalam kancah Liga Malaysia bersama Sarawak United pada 2020.

Ketua jurulatih Seoul Phoenix, Lee Sang-jin, berkata kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam: "Kalau kita lihat di peringkat Asia, Liga Malaysia sentiasa meningkat.

"Ia merupakan sesuatu yang menarik buat kami. Liga A1 ini lebih kepada liga generasi muda, jadi ia akan menjadi peluang yang baik untuk pemain Korea bermain di sini.

"Kami memilih untuk mengambil penjaga gol dari Malaysia dan beberapa pemain tempatan lain kerana mereka lebih mengenali liga ini dan tahu bagaimana untuk bermain menentang pasukan Malaysia lain.

"Pemain seperti Patrick dan beberapa pemain import lain, kami mengambil mereka untuk memperkuatkan beberapa posisi.

"Patrick seorang pemain yang boleh menjaringkan gol dan bersaing di bahagian depan, jadi kami fikir dia boleh bersaing dengan baik dalam liga ini," katanya.

Seoul Phoenix akan memulakan saingan Liga A1 dengan berdepan JDT II di Pasir Gudang pada 16 Ogos ini.
 

Advertisement

Must Watch Video