LIGA SUPER MSIA
Pahang tunjuk corak seperti dirancang -- Dollah
Pahang tidak berdepan masalah besar untuk menundukkan Negeri Sembilan melalui kemenangan besar 4-0 dalam Liga Super di Stadium Darul Makmur, semalam.
"Kami membuat apa yang dirancang dalam latihan. Kami tunjukkan pada malam ini (semalam).
"Kalau kami mengekalkan corak permainan seperti ini, saya rasa kami boleh pergi lebih jauh lagi," kata jurulatih Pahang, Dollah Salleh.
Iklan
Di atas kertas, Pahang sememangnya dijangka mampu meraih tiga mata berdasarkan prestasi terkini sejak kehadiran dua penyerang import, Francis Forkey Doe dan Patrick Dos Santos Cruz.
Ancaman awal hadir menerusi rembatan kencang Cruz pada minit ke-11 yang dapat ditepis keluar penjaga gol, Ilham Amirullah Razali.
Kubu Negeri Sembilan bocor jua pada minit ke-27 selepas situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti dimanfaatkan Cruz apabila pantas menerpa bagi meletakkan Pahang di hadapan.
Ketika permainan hampir tamat pada babak pertama, Forkey Doe merakamkan gol kedua Pahang apabila mudah melakukan percubaan yang gagal dijangkau Ilham.
Tidak banyak perubahan pada babak kedua dengan skuad Jang terus buntu melancarkan sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol Pahang.
Sebaliknya, tuan rumah makin rakus merobek gawang lawan, dengan Cruz sekali lagi mempamerkan ketenangan ``sebelum meledak gol kedua peribadi pada minit ke-66.
Forkey Doe kemudian melengkapkan malam gemilang Pahang selepas bijak menghidu umpanan Faisal Rosli, seminit menuju waktu kecederaan.
"Kami cuba kombinasi yang baik tetapi kami nyata gagal pada malam ini (semalam) kerana banyak hilang bola.
"Tanpa tekanan, kami mudah membuat hantaran kepada lawan. Nampak gaya banyak kerja rumah yang perlu saya lakukan," kata jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah.
Must-Watch Video