Skip to main content

Bola Sepak

Norfiqrie bangga berada dalam kesebelasan utama Kedah

norfiqrie.jpg
Kecederaan dua pertahanan kiri Kedah, Muhammad Ariff Farhan Mohd Isa dan Asri Mardzuki, memberi hikmah kepada pemain muda, Muhammad Norfiqrie Abdul Talib, yang disenaraikan dalam kesebelasan utama dalam tiga perlawanan lalu. 

Seperti impian menjadi kenyataan, kesabaran anak muda berusia 22 tahun itu akhirnya memberi pulangan setimpal dan dia dijangka akan disenaraikan untuk menghadapi PKNS dalam Liga Super di Stadium Darulaman, malam ini.

Menurut Norfiqrie, dia sama sekali tidak akan mensia-siakan kesempatan terhidang dan mahu membalas kepercayaan jurulatih, Nidzam Adzha Yusoff,  dan rakan sepasukannya.

"Saya akan mengambil alih tugas di tempat itu dan menjaganya sebaik-baiknya. Saya mahu membalas kepercayaan jurulatih dan rakan sepasukan yang memberikan tempat itu kepada saya. 

"Insya-Allah saya tidak akan mempersia-siakan peluang itu. Saya akan buat yang terbaik untuk pasukan saya," ujarnya.

Selain itu, Norfiqrie mahu mempelajari banyak perkara daripada pemain-pemain senior, tambahan dia mengakui ada kalanya masih gugup di atas padang.

Sentiasa mengikuti perkembangan skuad Hijau Kuning sejak di bangku sekolah, dia terharu kerana berpeluang menjadi sebahagian legasi bola sepak negeri itu.

"Memang saya meminati pasukan ini sejak kecil lagi. Saya sudah lama melihat mereka bermain dan teringin untuk bermain bersama. 

"Saya rasa cita-cita itu tercapai dan saya bangga kerana usaha selama ini tidak sia-sia. Tetapi saya masih perlu banyak belajar daripada pemain senior," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video