PIALA DUNIA
Nigeria perlu rencana strategi baru -- Mikel
John Obi Mikel menegaskan Nigeria perlu kembali mengatur strategi selepas tewas 2-0 kepada Croatia dalam aksi pembukaan Kumpulan D.
Jaringan sendiri Oghenekaro Etebo dan sepakan penalti Luka Modric memberikan tiga mata buat Croatia dalam aksi di Kaliningrad semalam tanpa sebarang bayangan buat Nigeria untuk tampil membuat kebangkitan.
Dan bekas pemain tengah Chelsea, Mikel, yang mengetuai skuad kendalian Gernot Rohr itu menyedari Nigeria perlu mempertingkatkan mutu permainan menjelang aksi berdepan Iceland pada Jumaat ini.
Iklan
"Kami perlu bermain dengan lebih baik. Saya berasakan kami mampu melakukannya," kata Mikel.
"Sukar untuk menjelaskan situasi ini tetapi kami perlu merencanakan strategi baru dan memperbaiki kelemahan kami.
"Sukar untuk berdepan pemain-pemain yang berkualiti dari Eropah. Mereka mampu menghukum anda pada bila-bila masa," katanya.
Di sebalik aksi kurang menyerlah Nigeria, Mikel yakin mereka mampu mara ke pusingan seterusnya, dengankeputusan seri di antara Argentina dan Iceland akan menjadi pemangkin buat skuad Super Eagles itu.
"Mengapa tidak? Kami percaya mampu melakukannya. Itu sebab kami beraksi dalam Piala Dunia.
"Masih ada dua perlawanan yang perlu ditempuhi. Argentina dan Iceland seri dan ia melegakan kami.
"Kami akan cuba memenangi perlawanan seterusnya."
Must-Watch Video