LIGA SUPER MSIA
Nidzam: Usah pandang rendah Kelantan
Ketua jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adha Yusof, menafikan skuadnya bakal mendapat laluan mudah untuk memungut tiga mata apabila menentang pasukan tercorot, Kelantan, dalam saingan Liga Super di Stadium Darulaman, esok.
Bagi Nidzam, perlawanan itu akan menjadi sukar kerana Kelantan sudah pasti tidak mahu terjerumus ke Liga Perdana pada musim depan dan juga mahu bangkit daripada kekalahan kali keempat berturut-turut.
Namun, berdasarkan prestasi semasa, Kedah perlu mengambil kesempatan atas segala kekalutan yang berlaku terhadap skuad The Red Warriors (TRW) untuk bangkit semula mencipta kemenangan selepas dikejutkan Melaka di gelanggang sendiri, Jumaat lalu.
Iklan
"Jangan ambil mudah perlawanan menentang Kelantan kerana kekalahan 0-2 kepada Melaka banyak memberi pengajaran kepada kami.
"Biarpun TRW pada musim ini dibarisi ramai pemain muda, semangat juang mereka patut diberi pujian. Kami menghormati kekuatan mereka tetapi dalam masa yang sama tetap yakin tiga mata mampu dituai di Darulaman," katanya.
Ditanya mengenai penyerang import terbaru, Paulo Rangel, yang masih gagal menemui sentuhan jaringan, Nidzam yakin kemarau itu akan berakhir malam esok.
"Dia (Rangel) beraksi baik dalam dua perlawanan terdahulu, cuma masih belum ada rezeki untuk menjaringkan gol.
"Insya-Allah, menentang Kelantan adalah medan terbaik untuk dia menamatkan kemarau jaringan. Saya cukup yakin."
Nidzam juga mengesahkan tiada sebarang rombakan besar ke atas kesebelasan utama, sebaliknya gembira dengan kehadiran beberapa tonggak utama yang memberinya pilihan.
"Tiada rombakan pemain, sebaliknya saya akan dapat kembali khidmat Akram Mahinan (yang digantung satu perlawanan). Shazwan (Zainol) dan Ariff Farhan ( Md. Isa) juga cergas sepenuhnya," tambahnya.
Untuk rekod, Lang Merah kini berada di tangga keempat carta Liga Super dengan 21 mata hasil daripada enam kemenangan dan tiga keputusan seri manakala Kelantan di kedudukan tercorot dengan lapan mata.
Must-Watch Video



