Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Nidzam percaya kerja keras bakal beri pulangan

nidzamn.jpg
Felda United sedar kebarangkalian tuah di Stadium Shah Alam berulang buat mereka adalah tipis menjelang pertemuan dengan PKNS FC dalam saingan Liga Super malam esok.

Aksi pertama Liga Super Felda di gelanggang keramat Selangor itu pada 3 Februari lalu menyaksikan The Fighters mencuri satu mata apabila mencatat keputusan seri 1-1 menentang The Red Giants.

Bagaimanapun, pengendali Felda, Nidzam Jamil, berpandangan PKNS yang dikendalikan Datuk K. Rajagobal itu adalah lawan yang lebih berkualiti.

"Di Shah Alam, kami bernasib baik kerana mungkin bukan hari Selangor ketika itu. Namun, saya percaya pasukan saya bekerja keras.

"Untuk minggu ini, saya tidak harapkan keajaiban tetapi selagi ada kerja keras dan keinginan untuk menang, saya rasa kami boleh raih keputusan positif," kata Nidzam.

Selepas lima perlawanan, Felda kini berada di kedudukan ketujuh liga dengan enam mata hasil satu kemenangan, tiga seri dan satu kekalahan sementara PKNS dua anak tangga di atas menerusi dua kemenangan, dua seri dan satu tewas, sekali gus menawarkan pertemuan menarik malam esok.

"PKNS adalah antara pasukan yang diuruskan dengan sangat baik. Mungkin perlawanan esok bakal jadi perlawanan yang bagus kerana kami tidak pernah memandang rendah lawan. Setiap minggu kami berdepan lawan yang sukar dan kami perlu menentang mereka secara serius," katanya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video