Skip to main content

Bola Sepak

Neymar kembali penuh bergaya

800x450_neymar-cropped_lzt836h7soa11pgqfcgp9tvo.jpg
BRAZIL 2 CROATIA 0

Neymar memberikan impak besar buat Brazil selepas dimasukkan dalam babak kedua apabila menyumbat gol pertama untuk membantu pasukannya menundukkan Croatia 2-0 dalam aksi persahabatan di Anfield, malam tadi.


Brazil meletakkan Neymar di bangku simpanan sambil mempertaruhkan Gabriel Jesus, Willian dan Philippe Coutinho di barisan depan ketika menentang Croatia.

Bagaimanapun, trio serangan itu tampak bergelut untuk menembusi benteng lawan selepas babak pertama berakhir dengan keputusan tanpa jaringan.

Situasi itu membuatkan Neymar yang merupakan pemain termahal dunia kembali beraksi buat kali pertama sejak mengalami kecederaan patah tulang metatarsal pada Februari lalu.

Keadaannya meragukan untuk memperkuatkan barisan Selecao dalam Piala Dunia 2018, namun bekas penggempur Barcelona itu hanya memerlukan 24 minit selepas masuk menggantikan Fernandinho untuk menyumbat gol pembukaan pada minit ke-69.

Gerakan yang bermula daripada Willian itu disambut Coutinh, sebelum melorongkan bola buat Neymar yang memperdayakan tiga pertahanan Croatia dan melepaskan rembatan padu menewaskan penjaga gol, Danijel Subasic.

Tatkala aksi di Anfield bakal berakhir dengan perbezaan satu gol, Roberto Firmino yang masuk menggantikan Jesus, menyumbat gol kedua pada minit terakhir permainan.

Penyerang Liverpool itu bijak mendada bola hasil lambungan daripada Casemiro sebelum tenang melambungkan bola melepasi jangkauan Subasic untuk memastikan Brazil menang 2-0 dalam aksi pemanas badan pertama sebelum Piala Dunia.

Selecao akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan pada 10 Jun menentang Austria sebelum memulakan saingan Piala Dunia bertemu Switzerland empat hari kemudian di Rostov Arena.
 

Advertisement

Must Watch Video