Skip to main content

Bola Sepak

Nerazzurri akhiri kemarau kemenangan

matteo-politano.jpg
INTER 2 SPAL 0

Luciano Spalletti menggesa Inter untuk mengetepikan perasaan malu-malu mereka di San Siro selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas SPAL, awal pagi tadi. 


Gol dalam babak kedua menerusi Matteo Politano dan Roberto Gagliardini memastikan kemenangan pertama Nerazzurri dalam empat perlawanan untuk berkelebihan enam mata dengan pasukan di tangga kelima, Roma.

Keputusan itu membolehkan mereka merapatkan jurang dengan seteru setempat, AC Milan, menjelang pertemuan 'derby della Madonnina', hujung bulan ini.

Miranda dan Marcelo Brozovic mungkin terlepas perlawanan itu selepas masing-masing ditimpa kecederaan hidung dan paha ketika menentang SPAL sesudah Inter kehilangan Radja Nainggolan, Ivan Perisic dan Mauro Icardi.

Namun, Spalletti mempunyai kegusaran yang lebih besar terhadap skuad bimbingannya di tempat sendiri kerana mengambil masa yang lama untuk memecah kebuntuan sebelum jaringan hadir daripada pemain sayap, Politano, pada minit ke-67.

"Walaupun ramai pemain yang tercedera, 11 pemain yang diturunkan masih merupakan pemain yang layak," kata Spalletti.

"Kami sedikit bergelut dengan emosi pada permulaan perlawanan dan ia tidak sepatutnya berlaku. Kami tahu kami perlu menang dan apabila kami mula mendapat rentak, kami akan memecah kebuntuan dan menang.

"Kami agak malu-malu dan goyah dalam babak pertama dan keyakinan kami melonjak sebaik menghasilkan gol kedua dan kami menampilkan kemampuan sebenar.

"Saya tahu pemain saya dengan cukup baik dan kadang-kadang kami dikekang oleh emosi sendiri. Kami memerlukan keberanian untuk membuat pilihan.

"Kami berada di sini untuk menang ketika menyarung jersi ini. Kami perlu meraih keputusan ini kerana hanya dengan mencapainya, barulah anda layak menjadi sebahagian daripada Inter."

Kelibat penyerang, Icardi, yang didakwa ditimpa masalah lutut ketika sesi latihan, tidak kelihatan di San Siro di sebalik pertikaian kontrak barunya yang berterusan.

Icardi, 26, tidak diturunkan sejak dilucutkan lilitan ketua pasukan bulan lalu dan Spalletti enggan membincangkan situasi itu lagi.

"Saya tidak akan bercakap tentang dia lagi kerana apa sahaja yang saya katakan akan ditafsirkan dalam pelbagai cara," katanya.

"Kami mempunyai matlamat yang sama, iaitu kemenangan. Kemenangan dan persembahan yang akan menentukan sama ada anda layak menjadi pemain Inter atau tidak."

Penyerang, Lautaro Martinez, yang menjadi sandaran sepanjang ketiadaan Icardi, akan menjalani penggantungan dan akan terlepas aksi timbal balik dengan Eintracht Frankfurt dalam pusingan 16 Liga Europa, Jumaat ini.

Advertisement

Must Watch Video