Skip to main content

Bola Sepak

Nazliazmi mahu cipta sejarah bersama Selangor

nazliazmi.jpg
Jurulatih Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir, mahu mencipta sejarah tersendiri dengan membantu skuad Red Giants meraih kejuaraan Piala FA hanya dalam tempoh setahun menceburi bidang kejurulatihan.

Nazliazmi adalah antara jurulatih muda yang menyinar dalam kancah Liga Malaysia ketika ini.

Pada usia 38 tahun, anak jati Selangor dari Klang itu berjaya membawa perubahan positif kepada skuad Selangor selepas mengambil alih tugas daripada P. Maniam, April lalu.

Ia menerusi aksi memuaskan pasukan itu kini, terutama kemaraan ke separuh akhir dalam Piala FA. Dan mungkin ramai yang tidak tahu, ia hadir hanya selepas setahun beliau menerima lesen kejurulatihan kelas A.

"Kalau kita tengok jurulatih-jurulatih Liga Super seperti Dollah Salleh dan K. Rajagobal mempunyai nama yang kukuh dalam Liga Malaysia. 

"Saya ini masih mentah dan banyak lagi yang perlu belajar. Tetapi bukan penghalang untuk saya lebih maju dan menjadi lebih baik selepas ini," ujarnya. 

Jika impian itu tercapai, Nazliazmi juga bakal menjadi antara jurulatih termuda meraih kejuaraan dalam sejarah bola sepak tanah air.

Pada 2003, Dollah Salleh menjulang Piala Malaysia bersama MPPJ FC pada usia 39 tahun.

"Kami perlu sedar betapa pentingnya separuh akhir Piala FA bertemu PKNS kerana kali terakhir kami masuk separuh akhir adalah pada lapan tahun lalu.

"Saya fikir peluang yang ada ini tidak boleh dilepaskan. Saya selaku jurulatih sentiasa akan memberikan yang terbaik untuk perlawanan akan datang," katanya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video