Skip to main content

Bola Sepak

Nasib pasukan lebih penting daripada rekod 100 gol -- Indra

indra-putra-mahayuddin.jpg
Kejayaan penyerang Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin, menjaringkan 100 gol sepanjang kerjayanya dalam kancah Liga Super direncatkan dengan situasi skuad Warga Kota yang kini tenat di dasar liga.

Indra meledak gol pada minit ke-40 menerusi satu lencongan dari luar kotak penalti ketika menentang PKNS FC malam tadi untuk mencapai angka 100 gol sejak beraksi dalam Liga Super pada 2004.

Bagaimanapun, ia masih gagal untuk membantu Kuala Lumpur mencapai kemenangan apabila tumpas 2-3.

"Saya berasa terkilan tetapi saya tidak akan berputus asa untuk terus berusaha. 

"Tetapi sasaran saya bukannya sekadar 100 gol, sebaliknya kejayaan buat pasukan. Itu lebih bermakna buat saya," kata Indra. 

Tambah malang, Kuala Lumpur kini berada di tangga tercorot liga apabila hanya mengutip lapan mata daripada 11 perlawanan.

Tekanan jelas terarah kepada ketua jurulatih, Chong Yee Fatt, apabila tidak dapat membawa masuk beberapa pemain import yang dihajati bagi memperkuatkan pasukan menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M), bermula Khamis ini, apabila dikenakan hukuman oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) gara-gara gagal mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan.

"Tiada jalan lain lagi. 

"Kami perlu berusaha keras dan bijak. 

"Masalah yang saya hadapi ialah pilihan pemain yang terhad. 

"Bagaimanapun, saya yakin dan kami tiada jalan lagi melainkan perlu berusaha keras untuk keluar daripada zon penyingkiran," kata Yee Fatt. 

Di pihak Semut Merah, tiga mata yang diraih itu cukup untuk membantu mereka mendaki satu anak tangga ke kelompok lima terbaik. 

Tambahan pula, mereka kini mengutip 15 mata dan semakin merapatkan jurang dengan Selangor yang berada di tangga ketiga apabila hanya dibezakan dengan dua mata.

Berita kurang enaknya, barisan pemain PKNS mempunyai tempoh 48 jam untuk berehat sebelum menempuhi satu lagi perlawanan getir menentang Kedah di Stadium Shah Alam, Selasa ini untuk aksi suku akhir pertama Piala FA.

"Barisan pemain saya harus mempunyai mentaliti untuk menang. 

"Situasi seperti itulah yang mencetuskan peluang kemaraan kami ke suku akhir Piala FA, jadi mengapa pula kami harus berhenti daripada melakukannya," kata ketua jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal. 

Advertisement

Must Watch Video