Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Musim buruk bukan pengakhiran buat Madrid -- Carvajal

danicarvajal-cropped_1fnr11s1rbcfy1y2nds5380hbz.jpg
Dani Carvajal menegaskan penyingkiran Real Madrid daripada Liga Juara-Juara Eropah sebagai musim terburuk tetapi yakin pasukannya akan kembali mencabar.

Selepas memenangi saingan tertinggi Eropah itu tiga tahun berturut-turut di bawah bimbingan Zinedine Zidane, Madrid terkandas dalam pusingan 16 setelah Ajax mengejutkan Los Blancos 4-1 di Santiago Bernabeu untuk mencatat kemenangan agregat 5-3.

Keputusan itu merupakan kekalahan keempat berturut-turut buat Madrid di laman sendiri selepas dua daripadanya tunduk di tangan Barcelona minggu lalu.

Selepas disingkirkan daripada Piala Raja Sepanyol, ketinggalan 12 mata dalam LaLiga dan disingkirkan daripada Liga Juara-Juara, Carvajal mengakui musim 2018-19 sudah berakhir.

Namun, dia yakin Madrid akan bangkit walaupun wujud dakwaan bahawa Marcelo dan Gareth Bale bakal mengikut jejak langkah Cristiano Ronaldo dan Zidane untuk meninggalkan pasukan.

"Saya tidak rasa pernah mengalami perasaan tidak selesa seperti ini," ujar Carvajal.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk menerangkannya.

"Dalam seminggu, musim kami berakhir, semua orang pulang ke rumah. Kami tiada alasan untuk aksi awal pagi tadi kerana lawan terlalu bagus dan berhak meneruskan kemaraan.

"Tidak mudah untuk beraksi selepas tewas dua perlawanan di tangan Barca. Hari ini, kami mahu lupakan aksi itu dan cuba mencatat kemenangan tetapi dua kesilapan meletakkan kami ketinggalan 2-0. Permulaan babak kedua agak bagus tetapi kedudukan 3-0 membunuh kami.

"Saya tidak melihat pengakhiran kitaran ini. Kami mempunyai barisan muda dan terdapat ruang besar untuk peningkatan. Kami harus ke depan dan tidak bersembunyi walaupun melalui musim yang buruk."

Advertisement

Must Watch Video