Skip to main content

Bola Sepak

Mourinho: Kesilapan ragut keyakinan United

josemourinho-cropped_1abt1duhi3cgt1gzyxur3vw9a1.jpg
Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, percaya pasukannya hilang fokus selepas melakukan kesilapan sehingga membawa kepada kekalahan mengejut 3-2 di tangan Brighton and Hove Albion, awal pagi tadi.

United bertahan dengan buruk dalam aksi babak pertama dan melepaskan dua gol pantas hasil sumbangan Glenn Murray dan Shane Duffy sebelum Eric Bailly menghadiahkan sepakan penalti buat lawan seminit sebelum rehat walaupun Romelu Lukaku memberikan harapan dengan gol menerusi tandukan sebelum itu.

Mourinho mendedahkan sukar untuk meyakinkan pasukannya ketika rehat tatkala keyakinan United seperti hilang susulan aksi buruk daripada Bailly dan gandingannya di benteng tengah, Victor Lindelof.

"Terlalu banyak kesilapan dan kami dihukum. Kadangkala, pasukan melakukan kesilapan dan anda tidak menanggung akibatnya," kata Mourinho.

"Selepas rehat, kami mencuba semula tetapi daripada pandangan saya, kesilapan demi kesilapan serta hukuman yang diberikan Brighton telah membuatkan tuan rumah begitu yakin, menampakkan lagi bahawa mereka telah meragut keyakinan United.

"Saya tidak menjangkakan kesilapan besar sebegini dan kami akhirnya dihukum.

"Anda kehilangan keyakinan dan ia memudahkan lagi pasukan anda menjadi hilang arah. Kami datang ke sini untuk menang tetapi secara tiba-tiba ketinggalan 2-0.

"Anda merapatkan jurang dan berfikir untuk menyamakan kedudukan dalam babak kedua, namun secara tiba-tiba melakukan kesilapan dan sekali lagi dibolosi. Kesudahannya, anda menuju ke bilik persalinan dengan mental yang sangat kecewa," katanya.

Sebelum ini, pengendali United itu dilaporkan amat kecewa dengan kegagalan United mendapatkan bek tengah ketika jendela perpindahan musim panas tetapi dia menolak untuk berbicara lanjut tentang perkara itu.

"Perpindahan seterusnya dibuka pada 1 Januari nanti. Sekarang ia ditutup," tambahnya.

Dalam masa sama, Mourinho juga tidak mahu mengkritik pemain-pemainnya kerana percaya dia akan menjadi sasaran media, sama seperti apa yang berlaku di antara dia dan nama-nama seperti Luke Shaw dan Paul Pogba.

"Apabila saya bercakap tentang persembahan individu dan mengkritik pemain saya, anda tidak boleh menerimanya.

"Pihak media dan pemerhati bola sepak sering bersikap kritikal apabila saya melakukan tindakan itu. Jangan minta saya untuk melakukannya. Ia tidak bagus untuk saya.

"Saya akan gembira untuk menganalisis pemain-pemain saya apabila mereka menampilkan aksi cemerlang. Tentunya bagus buat saya untuk berdepan kamera dan bercakap mengenai prestasi bagus sesetengah pemain.

"Apabila saya tidak dapat melakukannya, jangan paksa saya melakukan perkara sebaliknya kerana saya tidak mahu," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video