LIGA INGGERIS
Mourinho dakwa pencapaiannya melangkaui jangkaan
Jose Mourinho mendedahkan Manchester United "tidak bersedia untuk memenangi sesuatu" sebelum pelantikannya sebagai pengurus pada 2016.
Bekas pengurus Chelsea dan Real Madrid itu menjulang Piala Liga Inggeris (EFL) dan trofi Liga Europa setahun selepas menggantikan Louis van Gaal di Old Trafford untuk menjadi pengurus pertama dalam sejarah United untuk mengangkat trofi berkenaan.
United berada di tangga kedua untuk meraih tiket Liga Juara-Juara dengan baki empat perlawanan liga. Ia peningkatan drastik berbanding ketika mereka mengakhiri kempen musim 2017 di tangga keenam manakala kemenangan 2-1 ke atas Tottenham Hotspur di Wembley, hujung minggu lalu, mengesahkan tempat mereka dalam perlawanan akhir Piala FA.
Iklan
Oleh itu, Mourinho yakin waktunya di United boleh dilabel berjaya dengan mendakwa terdapat tanggapan sebelum ketibaannya bahawa mereka tidak akan dapat menjamin gelaran meskipun sempat memenangi Piala FA dalam perlawanan terakhir kendalian Van Gaal.
"Saya tahu kelab yang saya kendalikan," katanya kepada Sky Sports News. "Saya tahu satu perkara, sebaik tiba di sebuah kelab yang dahagakan kejayaan, anda hanya perlu datang dan memberi sentuhan terakhir bagi menyuntik kualiti, pengetahuan peribadi dan mereka akan bersedia dalam sekelip mata.
"Saya tahu itu tidak akan berlaku di United. Pemiliknya sedar, begitu juga ketua pegawai eksekutif. Jadi, persoalannya adakah saya bersedia untuk menjawat tugas seperti ini? Saya sudah bersedia kerana sepanjang masa, kerjaya saya adalah mengenai perkara-perkara baru.
"Saya seperti orang Portugis lazimnya, saya sentiasa bersedia untuk menerokai dan mencuba perkara-perkara baru, sentiasa bersedia untuk berpindah negara, mengubah kelab, budaya, segala-galanya dalam mencari perkara-perkara baru.
"Saya melakukan semua itu, jadi apabila saya tiba di Manchester United, saya sudah bersedia dan saya tahu kejayaan tidak akan datang dengan serentak.
"Walaupun memenangi tiga trofi dan bermain dalam tiga final, menamatkan saingan liga di tempat ketiga atau keempat merupakan senario terburuk," tambahnya.
Must-Watch Video