Skip to main content

Bola Sepak

Molde tidak terkejut United lantik Solskjaer

solskjaer.jpg
Pelantikan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus tetap Manchester United bukan satu kejutan, menurut Pengarah Urusan Molde, Oystein Neerland.

Solskjaer meninggalkan jawatan sebagai pengurus kelab Norway itu untuk menggantikan Jose Mourinho di Old Trafford sejak Disember lalu.

Dia kemudian memulihkan kelab Inggeris itu dengan memastikan mereka kembali ke kedudukan empat terbaik dalam Liga Perdana dan melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas melakukan kebangkitan hebat yang menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam pusingan 16.

Solskjaer sepatutnya kembali ke pangkuan Molde selepas tamat musim ini, namun Neerland berkata kejayaan yang dihasilkan pengendali itu sudah cukup menjamin untuk dia dilantik sebagai pengurus sepenuh masa.

"Ole sudah melakukan tugasnya dengan baik sejak menyertai kelab itu Disember lalu, jadi ia tidak mengejutkan apabila dia dilantik sebagai pengurus tetap," katanya kepada Omnisport.

"Tahniah kepada Ole dan Manchester United.

"Bagi kami, pelantikan itu merupakan perkara baik kerana ia akan menamatkan segala spekulasi.

"Ia juga memberikan kami kepastian untuk mengekalkan Erling Moe sebagai pengurus pasukan buat masa ini.

"Sudah pasti ia satu kehilangan yang besar, namun kami masih memiliki pasukan yang baik di bawah kendalian Erling sebagai jurulatih baru.

"Hidup perlu diteruskan, kami perlu bergerak ke depan dan menumpukan kepada prestasi Molde dalam musim baru yang akan bermula Ahad ini.

"Kami perlu bersedia dan kami berasakan kami sudah bersedia untuk menghadapinya," katanya.

Advertisement

Must Watch Video