Skip to main content

Bola Sepak

Modric, Rakitic jentera tengah terbaik di Russia -- Corluka

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

modric.jpg
Luka Modric dan Ivan Rakitic merupakan gandingan tengah terbaik dalam Piala Dunia 2018, kata pertahanan berpengalaman Croatia, Vedran Corluka.

Tonggak Real Madrid, Modric, dan rakan seposisinya dari Barcelona, ​​Rakitic, menjalin kerjasama hebat untuk mencipta impak yang menyaksikan duo berkenaan menyumbat gol dalam babak kedua ketika membelasah Argentina 3-0, Jumaat lalu. 

Terdahulu, mereka merakamkan kemenangan mudah 2-0 ke atas Nigeria, yang bermakna Croatia mara ke peringkat kalah mati buat kali pertama sejak kejayaan mereka yang terkenal -- separuh akhir edisi 1998.

"Mereka bermain di kelab terbesar dan saya fikir ini adalah persembahan terbaik Croatia dalam kejohanan besar," kata Corluka, yang akan beraksi dalam penampilan ke-100 ketika menentang Iceland di Rostov, Selasa ini tatkala ketua jurulatih, Zlatko Dalic, sedia membuat rombakan.

"Mungkin saya sedikit berat sebelah kerana saya adalah pemain Croatia tetapi saya fikir mereka merupakan pasangan terbaik dalam kejohanan ini. Saya berharap mereka akan terus dengan cara yang sama dan membawa kami sejauh mungkin."

Pemain sayap, Ivan Perisic, turut memuji bakat barisan tengah Croatia yang turut dibarisi rakan sepasukannya di Inter Milan, Marcelo Brozovic, ketika mengekang pemain Argentina manakala tonggak Real Madrid, Mateo Kovacic, hanya diperkenalkan sebagai pemain gantian.

"Semua orang tahu bahawa pemain tengah kami mempunyai peranan besar di kelab terbesar Eropah," kata Perisic.

"Mereka jelas bertaraf dunia, mereka bermain baik dalam kejohanan ini dan bermula sekarang, kami perlu terus melakukan perkara yang sama." 

Croatia turut tampil mengagumkan dalam Euro 2016 sebelum disingkirkan juara, Portugal, dengan Ricardo Quaresma menjaringkan gol tunggal pertembungan pusingan 16 itu dalam masa tambahan.

Sehubungan itu, Perisic berharap situasi kali ini berbeza memandangkan mereka dibarisi generasi pemain yang berbakat besar dan ini mungkin peluang terbaik mereka untuk menjulang kejuaraan. 

"Bagi kebanyakan pemain, ini merupakan kejohanan utama keempat berturut-turut," katanya. "Di Perancis, kami bermain dengan baik.

"Kami agak malang dengan Portugal dan saya berharap nasib kami akan berbeza di Russia," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video