Badan pentadbir Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), mengumumkan peletakan jawatan ketua pegawai eksekutifnya, Kevin Ramalingam, hari ini.
Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, dilantik memangku jawatan itu berkuat kuasa esok.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan MFL hari ini, badan pentadbir itu menerima peletakan jawatan Kevin semalam dan sebulat suara melantik Ab Ghani sebagai pengganti.
Ab Ghani ketika dihubungi hari ini, terharu dengan kepercayaan yang diberikan itu.
"Presiden, Datuk Hamidin (Mohd Amin), dan semua ahli lembaga pengarah sudah bersetuju untuk melantik saya selaku pemangku ketua pegawai eksekutif buat sementara waktu.
"Jadi, kami sebagai lembaga pengarah menerima peletakan jawatan Kevin secara baik," katanya.
Antara tugas awal yang perlu digalasnya ialah menyelesaikan baki tunggakan pembayaran hak penyiaran kepada beberapa pasukan Liga Super dan Liga Perdana.
"Kami berada di landasan yang tepat dan akan memperbaiki beberapa kelemahan.
"Kerana kami merupakan penjaga kepada kerjasama pasukan Liga Super dan Liga Perdana.
"Jadi, kami akan melihat perkara itu dan akan berusaha sebaik mungkin," tambahnya.
Penulis Jemputan
Sat Nov 30 2019