Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam, memaklumkan bahawa pihaknya akan memuktamadkan keputusan berkenaan keperluan meminda jadual Piala Malaysia selewat-lewatnya minggu depan.

Ia susulan perlawanan separuh akhir kedua kejohanan tertua di Asia itu dijadual pada 20 November iaitu sehari selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.

MFL, bagaimanapun, akan mengadakan perbincangan dengan pemegang taruh serta semua pihak terlibat sebelum mengumumkan sebarang perubahan.

Terdahulu, MFL berharap agar Piala Malaysia 2022 dapat dijalankan mengikut tarikh asal yang telah ditetapkan.

"Pada masa ini tidak, kami masih merujuk kepada badan-badan tertentu bagi memastikan pengelolaan separuh akhir kedua dapat dilangsungkan di peringkat tempatan.

"Kami berbincang dengan semua pasukan sebab kita tidak tahu siapa yang akan sampai ke separuh akhir.

"Tetapi tarikh Piala Malaysia setakat ini kekal, sama ada kami beritahu (perkembangannya) hujung minggu ini atau minggu depan," katanya dalam satu majlis penajaan di ibu kota hari ini.