LIGA INGGERIS
Mesyuarat buang masa -- Conte
Antonio Conte berkata pertemuan di antara Liga Perdana dan pengurus liga mengenai penjadualan perlawanan adalah membuang masa.
Conte dan rakan sejawatannya mengadakan mesyuarat pada Khamis lalu dalam usaha menyatakan kebimbangan mengenai kebajikan pemain berikutan tuntutan tinggi terhadap khidmat mereka sepanjang tempoh perayaan yang sibuk.
Penularan COVID-19 di kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) telah menyebabkan beberapa perlawanan ditangguhkan baru-baru ini sementara beberapa aksi lagi tetap diteruskan di sebalik kehilangan ramai tonggak utama.
Iklan
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, mencadangkan pemain mungkin perlu mempertimbangkan untuk melancarkan mogok bagi menuntut perubahan.
Pengurus Tottenham, Conte, melabel pertemuan dengan Liga Perdana itu tidak membawa sebarang makna.
Dia berkata: "Saya harus jujur, saya fikir ia adalah pertemuan untuk kami cuba menyuarakan pandangan dan beberapa pengurus cuba melakukannya dengan membangkitkan jalan penyelesaian.
"Tetapi saya fikir semuanya telah diputuskan sejak awal lagi. Dan saya fikir dalam perbincangan semalam, situasi akan tetap sama, jadi atas sebab itu juga saya tidak mahu menghadiri mesyuarat berkenaan."
Ditanya sama ada ia membuang masa, bekas ketua jurulatih Itali itu berkata: "Saya fikir begitu kerana apabila anda mempunyai tembok di hadapan anda, anda boleh bertanya dan bercakap tentang apa yang diharapkan, tetapi hakikatnya setiap keputusannya telah diambil."
Spurs menewaskan West Ham dalam suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL), Khamis lalu, dan akan menentang Crystal Palace pada 'Boxing Day' sebelum bertandang ke Southampton, dua hari kemudian.
Spurs kemudian akan bertandang ke Watford pada hari Tahun Baru.
Must-Watch Video