Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Messi tetap sama jika bermain untuk Australia -- Valverde

lionel-messi2.jpg
Lionel Messi akan tetap memberikan inspirasi sama walaupun dia mewakili skuad kebangsaan Autralia dan bukannya Argentina, kata ketua jurlatih Barcelona, Ernesto Valverde, selepas kapten pasukan itu sekali lagi memaparkan aksi bertaraf tinggi.

Messi menjaringkan kedua-dua gol ketika Barca menewaskan seteru Catalan, Espanyol, 2-0 di Camp Nou, malam tadi dan semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan LaLiga musim ini.

Pada hari di mana Messi melangkaui Andres Iniesta selaku pemain kedua paling banyak melakukan penampilan buat Barca, dia membuka jaringan dengan sepakan percuma yang terbias ke kapten Espanyol, Victor Sanchez.

Messi kemudian melengkapkan jaringan LaLiga yang ke-31 musim ini bagi mengesahkan kemenangan pasukannya

Penyerang itu kini menjaringkan lapan gol daripada empat penampilan terakhirnya buat kelab itu.

Ketika waktu rehat antarabangsa, kapten Barca itu kembali menyertai skuad kebangsaaan Argentina -- selepas berehat sembilan bulan sejak Piala Dunia Russia tahun lalu -- dalam perlawanan persahabatan menentang Venezuela.

Bagaimanapun, dia menerima kritikan hebat daripada penyokong negara kelahirannya itu selepas menarik diri daripada aksi berdepan Maghribi, di mana Messi mempertahankan dirinya dengan mendedahkan dia mengalami kecederaan pelvis sejak Disember tahun lalu.  

"Messi akan tetap bermain sepeti itu jika dia beraksi dengan skuad kebangsaan Australia," kata Valverde dalam sidang media.

"Saya tidak mahu masuk campur urusan bola sepak negaranya.

"Saya hanya boleh katakan yang ia merupakan satu keistimewaan untuk melatihnya.

"Kami cuba untuk membuatkan dia gembira dan bersemangat kerana ia menjadikan dia lebih baik," katanya. 

Barca akan berkunjung ke Villarreal, Rabu ini, sebelum mereka berdepan pencabar terdekat, Atletico Madrid di Camp Nou.

Valverde juga perlu mencongak percaturan bagi aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah dengan Manchester United -- yang menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam pusingan 16 -- bulan depan.

Jadual padat itu mungkin menjejaskan peluang mereka untuk meraih kejuaraan 'treble' musim ini selepas menjuarai LaLiga dan Copa del Rey musim lalu.

Pengendali Barca itu -- yang sedar Atletico masih berpeluang untuk mengejar pasukannya -- akur dia perlu melakukan keputusan sukar dalam pemilihan pemain dengan Messi mungkin merupakan salah seorang pemain yang akan direhatkan bagi memulihkan kecergasan.

"Dengan mengambil kira kalendar yang akan kami hadapi, kami perlu merombak keseluruhan pasukan.

"Perlawanan-perlawanan itu akan tiba dengan segera. Kami akan melihat sama ada Messi perlu direhatkan atau tidak.

"Tiga tahun lalu, pada hari ke-29 perlawanan, Barcelona mempunyai kelebihan lapan mata di depan Atletico dan 12 mata di depan (Real) Madrid.

"Empat hari kemudian, kami terikat mata yang sama dengan Atletico dan hanya berkelebihan satu mata di depan Madrid. 

"Perkara seperti itu boleh berlaku kepada kami dan kepada sesiapa sahaja," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video