Bintang Argentina, Lionel Messi, berkebolehan untuk melakukan apa sahaja, kata penjaga gol Perancis, Steve Mandanda, menjelang pertemuan pusingan 16 di antara kedua-dua pasukan itu dalam Piala Dunia.
Messi menjaringkan gol pertamanya dalam kempen Russia 2018 untuk membantu pasukan menang 2-1 ke atas Nigeria, awal pagi semalam.
Penyerang Barcelona itu tampil dengan aksi cemerlang tetapi Mandanda mengetahui kebolehan yang dimiliki Messi menjelang pertemuan di Kazan.
"Kami perlu bertahan dengan baik, menutup setiap ruang kerana Messi mampu melakukan apa sahaja,” katanya.
"Kami mengetahuinya dan telah diberi amaran. Perancis memiliki pemain-pemain yang pernah bertemu dengannya dalam saingan LaLiga.
"Kami berharap dapat menyerang dengan efektif dan bertahan memastikan gawang tidak dibolosi," katanya.
Argentina bergelut dalam saingan peringkat kumpulan di Russia dan memerlukan jaringan pemain pertahanan, Marcos Rojo, bagi memastikan mereka lolos ke pusingan kalah mati.
Mandanda berkata dia masih belum mempelajari gaya permainan skuad Jorge Sampaoli itu tetapi bimbang dengan ancaman Messi.
"Saya masih belum menilai gaya permainan Argentina. Tetapi kami tahu Messi manpu melakukan apa sahaja.
"Mereka pasukan berkualiti. Walaupun bergelut di peringkat kumpulan, mereka akan memberikan cabaran kepada kami," katanya.
Penulis Jemputan
Thu Jun 28 2018