Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Melaka lonjak ke tangga keempat

safiq-rahim.jpg
MELAKA 2 KUALA LUMPUR 0 

Dua gol dalam separuh masa pertama menjulang Melaka United untuk mengutip mata penuh ke atas Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi. 


Bahagian pertahanan terus menjadi igauan ngeri buat pelawat apabila pintu gol mereka mudah dirobek untuk kekalahan 0-2. 

Jaringan pada minit ke-16 yang ditanduk kemas Darko Markovic terhasil melalui umpanan teknikal daripada Faris Shah Rosli dan mereka tidak perlu menunggu lama untuk gol kedua. 

Dua minit menyusul, giliran Nazrin Nawi menggegar gawang The City Boys apabila lariannya dari sebelah kiri memerangkap pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan deras. 

Pengenalan Sylvano Comvalius dalam babak kedua pada awalnya mencetuskan harapan buat jentera serangan Kuala Lumpur, namun situasi itu tidak bertahan lama. 

Melaka kembali memperkemaskan rentak dan Anselmo Arruda da Silva seharusnya membunuh semangat juang Kuala Lumpur dengan gol ketiga tetapi sepakan terakhirnya selepas mengatasi tiga pertahanan gagal disempurnakan. 

Kemenangan -- kedua musim ini -- itu melonjakkan Melaka ke tangga keempat Liga Super selepas lima perlawanan, namun malang buat Kuala Lumpur yang dibimbing Yusri Che Lah apabila terperosok di tangga tercorot tanpa sebarang mata. 
 

Advertisement

Must Watch Video