Skip to main content

Bola Sepak

Mbappe kecewa 'MNM' baru temui keserasian

kylian-mbappe_11bm881a4pq371bbonb1wm3081.jpg
Kylian Mbappe kecewa kerana baru sahaja berpeluang untuk mendapatkan keserasian dengan Neymar dan Lionel Messi di Paris Saint-Germain ketika musim menuju penghujung.

Mbappe dan Neymar menjaringkan hatrik ketika PSG meraih kemenangan 6-1 ke atas Clermont semalam, menyaksikan skuad kendalian Mauricio Pochettino mendahului 15 mata di puncak Ligue 1.

Ia merupakan kali pertama dua rakan sepasukan itu menjaringkan hatrik dalam satu perlawanan sama sejak dilakukan oleh Mbappe dan Edinson Cavani ketika PSG bertemu Guingamp pada Januari 2019.

Neymar dan Mbappe saling melakukan bantuan jaringan sementara Messi memiliki tiga assist dan menjadi pemain pertama untuk melakukannya dalam satu musim saingan Ligue 1.

Bagaimanapun, ia merupakan perlawanan ke-14 trio itu diturunkan bersama dalam semua pertandingan musim ini. Kejayaan memenangi 5-1 ke atas Lorient merupakan kali pertama mereka semua menemui jaringan dalam satu perlawanan.

Ia kekal menjadi persoalan sama ada Mbappe akan terus beraksi bersama Messi dan Neymar musim depan, selepas kontraknya dijangka bakal berakhir pada penghujung musim ini dan telah kuat dikaitkan dengan Real Madrid.

Mbappe mengakui kecewa apabila jentera PSG itu baru sahaja berpeluang untuk mencapai jangkaan dengan hanya gelaran Ligue 1 menjadi rebutan musim ini.

"Amat memalukan kerana ia hanya berlaku sekarang. Terdapat banyak kekangan yang menyebabkan kami lambat mendapatkan keserasian," kata Mbappe kepada Canal+.

"Kami berasakan kami adalah tiga pemain berkualiti dan cuba membantu pasukan sebaik mungkin.

"Kami gembira. Kami berseronok dan saya rasa kami juga memberikan yang terbaik peminat. Kami kekal dalam laluan ke kejuaraan ke-10, yang tidak begitu jauh."
   

Advertisement

Must Watch Video