Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Mat Zan berang penyudah tumpul Negeri Sembilan

mat-zan-mat-aris.jpg
Kelemahan jentera serangan Negeri Sembilan, khususnya menerusi penyerang import, Thomas Koroma, dalam saingan Liga Perdana menentang Selangor United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang semalam mengundang kemarahan ketua jurulatih mereka, Mat Zan Mat Aris.

Kemarahan Mat Zan itu tercetus apabila Negeri Sembilan gagal memanfaatkan beberapa peluang yang sepatutnya diterjemahkan kepada jaringan untuk memenangi perlawanan itu.

Kali terakhir Negeri Sembilan meraih tiga mata adalah ketika aksi pembukaan Liga Perdana dengan Sarawak, bulan lalu.

Koroma, yang merupakan penyerang import dari Sierra Leone, tidak menjalankan tugasnya dengan baik apabila kerap melakukan percubaan yang tidak menepati sasaran.

Kegagalan itu menyaksikan skuad Jang terpaksa berpuas hati dengan kutipan satu mata ketika berdepan Selangor United, semalam.

"Ia merupakan perlawanan ketiga Thomas.

"Saya agak kecewa dengan prestasinya.

"Kami akan memperbetulkan segala kelemahannya, namun sebagai penyerang import, dia sepatutnya lebih tajam di depan gawang," katanya.

Selangor United pula lega dengan keputusan seri itu.

Biarpun hanya meraih satu mata, mereka masih di tangga ketiga liga dengan pungutan 10 mata.

Buat ketua jurulatih, Abdul Talib Sulaiman, dia optimis pasukannya mampu untuk melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah kelab itu.

"Ini adalah perlawanan kelima.

"Saya difahamkan untuk layak ke Piala Malaysia, kami perlu menamatkan separuh pertama liga musim ini di kedudukan lima terbaik.

"Peluang itu masih ada. Jika kami memenangi dua atau tiga perlawanan lagi, saya yakin kami akan layak," katanya.

Advertisement

Must Watch Video