Skip to main content

Bola Sepak

Masalah skuad Kelantan bukan kelebihan buat Kedah -- Nidzam

nidzam.jpg
Jurulatih Kedah, Muhammad Nidzam Adzha Yusoff, mengharapkan kebangkitan segera skuad Lang Merah dalam Liga Super berdepan Kelantan di Stadium Darulaman esok selepas tumpas 2-0 kepada Melaka, Jumaat lalu.

Bagi Nidzam, dia tidak mahu barisan pemainnya memandang mudah cabaran Kelantan biarpun lawan itu kini di tangga tercorot liga.

Dia juga mengingatkan pemainnya agar tidak memikirkan masalah dalaman yang membelenggu skuad Kelantan ketika ini.

Sebaliknya, Nidzam mahu mereka memberi tumpuan kepada diri sendiri untuk merakamkan kemenangan.

"Kedah tidak melihat kepada masalah pasukan lawan. Kami memberi tumpuan untuk bangkit selepas kekalahan dalam perlawanan sebelum ini. 

"Apa pun, kami melihat Kelantan yang dibarisi ramai pemain muda mempunyai kekuatan," katanya.

Dalam pada itu, Nidzam juga percaya penyerang import baru Kedah, Paulo Rangel, berada di landasan tepat untuk meledak gol pertama buat Kedah.

Dalam dua perlawanan sebelum ini, Rangel gagal menemui sasaran buat pasukan barunya.

"Untuk Rangel, faktor nasib yang menyaksikan dia tidak dapat menjaringkan gol dalam dua perlawanan sebelum ini. 

"Dia berada di posisi yang betul dalam setiap perlawanan. Dia membuat percubaan yang tepat, cuma ia bergantung kepada nasib," katanya lagi. 

Advertisement

Must Watch Video