Skip to main content

Bola Sepak

Maradona kecewa Messi gagal hadir majlis Anugerah FIFA

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

maradona-disappointed-in-messi-absence-as-madrid-icons-pile-in.jpg
Diego Maradona kecewa dengan Lionel Messi dan Barcelona yang memilih untuk tidak hadir di Zurich bagi meraikan majlis Anugerah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, dengan Roberto Carlos dan Michel Salgado turut mengkritik tindakan itu. 

Messi, yang menerima pencalonan untuk anugerah Pemain Lelaki Terbaik, pada awalnya dijangka akan tiba bersama-sama rakan sepasukan Barca, Luis Suarez, Neymar dan Gerard Pique. 

Namun, kelab itu mengumumkan pemain mereka tidak akan menyertai majlis di Switzerland itu berikutan jadual perlawanan Copa del Rey bertemu Athletic Bilbao, awal pagi esok. 

Pemain antarabangsa Argentina itu diatasi oleh bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, dan Maradona melahirkan kekecewaan apabila rakan senegaranya itu gagal menghadirkan diri. 

"Saya kecewa dengan Messi, dengan hanya menonton di rumah anda tidak dapat berjuang untuk apa-apa atau sesiapa -- di sini anda boleh berjuang," kata Maradona kepada TVE. 

"Saya tidak tahu mengapa Barcelona tidak menghadiri majlis penting ini. Mereka mempunyai keutamaan dan keutamaannya adalah Leo tidak datang. Saya berpendapat dengan datang ke sini (Zurich), mereka boleh lebih berjuang berbanding di Barcelona."

Ikon Real Madrid, Roberto Carlos, turut tidak senang dengan keputusan Barca itu, sambil mencadangkan Messi  boleh belajar bagaimana untuk merendah diri daripada Ronaldo.

"Saya sedih dan kesal Leo dan rakan sepasukannya tidak hadir. Mereka memiliki pemain hebat dan kami mahu melihat kehadiran mereka," kata bekas tonggak antarabangsa Brazil itu sebelum majlis berlangsung. 

"Kami mahu melihat Messi dan pemain handalan lain serta jurulatih Barcelona di sini. Ini adalah majlis anugerah FIFA. FIFA adalah kuasa tertinggi dalam bola sepak. Jadi, semua orang patut ada di sini.

"Cristiano sedar mengenainya dan saya berasakan Leo patut tahu dia harus berada di sini. Ini perlu diubah. 

"Real Madrid juga mempunyai perlawanan pada minggu ini dan mereka semua tiba di Zurich. Kewajipan untuk menang adalah sama buat kedua-dua kelab."

Salgado turut menyatakan dia menjangkakan tindakan yang lebih baik daripada Barca sebagai sebuah kelab terbesar di dunia. 

"Ketika ini Real Madrid adalah kelab terbaik di dunia dan mungkin ini mempengaruhi keputusan pemain Barcelona. Tindakan Barcelona untuk tidak menghantar pemain terbaik mereka adalah salah.

"Saya sedar mereka mempunyai isu dengan FIFA sebelum ini, namun Barcelona perlu faham bahawa FIFA sedang berubah. Ini bukan tindakan yang anda jangkakan daripada sebuah kelab gergasi." 

Advertisement

Must Watch Video