PIALA DUNIA
Maradona berang persembahan buruk Argentina
Diego Maradona teramat kecewa dengan persembahan buruk Argentina dalam kempen Piala Dunia 2018 yang menyaksikan skuad kendalian Jorge Sampaoli itu berdepan risiko terkandas di peringkat kumpulan sejak 2002.
Keputusan seri 1-1 dengan Iceland dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D, disusuli kekalahan mengejut 0-3 di tangan Croatia, bermakna juara dua kali itu harus mengalahkan Nigeria sebagai peluang terakhir untuk mara.
Ketua jurulatih, Sampaoli, dan Persatuan Bolasepak Argentina (AFA), berdepan kecaman hebat selepas aksi longlai di Russia.
Iklan
Justeru, Maradona, wira dalam kemenangan edisi 1986, meluahkan perasaannya dalam penampilan televisyen, Telesur.
"Tiada kata-kata untuk menggambarkan kekecewaan dalaman yang sangat besar ini kerana sesiapa yang pernah menyarung jersi Argentina tidak akan menerima hakikat bahawa kami dibelasah oleh Croatia, sebuah pasukan yang tidak pun setanding Jerman, Brazil, Belanda atau Sepanyol, kebenaran ini terbukti," kata Maradona.
"Situasi ini ada sebabnya dan pengerusi AFA (Claudio Tapia) adalah dalangnya. AFA dipimpin oleh orang yang tidak tahu apa-apa mengenai bola sepak.
"Argentina tidak mempunyai perancangan, tidak ada penyelesaian untuk apa-apa pun, maksud saya, kami tidak mempunyai barisan pemain tengah, pertahanan atau serangan.
"(Ketika bertemu Croatia) Argentina tidak mencipta sebarang peluang, tidak bertahan dan tidak menguasai bola," ujarnya.
Meskipun sepakan penalti Lionel Messi diselamatkan dalam pertemuan dengan Iceland, Maradona tidak menyalahkan persembahan bintang Barcelona itu.
"Semua orang menyalahkan Leo," kata Maradona. "Saya fikir Leo telah beraksi seperti sepatutnya, ini kerana dia boleh melakukannya. Sukar untuk membetulkan isu rakan sepasukan."
Walaupun jangkaan dua perlawanan awal Argentina meleset, mereka meraih sokongan daripada sumber yang tidak disangka-sangka menerusi pertahanan Brazil, Miranda.
"Sayang sekali negara sehebat Argentina akan menghadapi detik seperti ini," kata Miranda selepas Brazil mengalahkan Costa Rica hasil dua gol lewat permainan.
"Ini memalukan untuk bola sepak tetapi ia mencerminkan betapa sengitnya pertandingan ini."
Must-Watch Video



