Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Maniam ketepi elemen persahabatan berdepan Durakovic

030317-p-maniam.jpg
Pengendali Selangor, P. Maniam, sedia beradu percaturan taktikal dengan jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, yang juga bekas rakan sepasukan dan ketua jurulatihnya di Selangor apabila kedua-dua pasukan berentap dalam saingan Liga Super, esok. 

Ini adalah kunjungan pertama Durakovic ke Selangor sebagai jurulatih pasukan lain sejak kontraknya tidak dilanjutkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selepas menjuarai Piala Malaysia 2015. 

Bagi Maniam, Durakovic adalah rakan lamanya, tetapi ikatan persahabatan akan diketepikan esok kerana mereka berdua pasti berhajat meraih keputusan positif buat pasukan masing-masing. 

Maniam juga tidak akan memandang mudah kemampuan Perak walaupun mereka tumpas 4-2 kepada Kelantan dalam aksi Liga Super sebelum ini. 

"Mehmet akan sentiasa merupakan seorang sahabat saya dan kami juga akrab. Selamat maju jaya buatnya. 

"Dalam perlawanan, prestasi adalah segala-galanya. 

"Saya sangat berharap pemain-pemain Selangor dapat menampilkan aksi terbaik esok.

"Perak pasti akan memberikan aksi terbaik mereka. 

"Ini kerana semua pasukan yang bertandang ke Selayang akan menampilkan aksi lebih 100 peratus ketika berdepan Selangor," katanya.

Sementara itu, pertahanan kanan Selangor, Syamei Safari, yang juga pemain termuda dalam skuad Red Giants sedia diturunkan untuk menghadapi Perak.

Biarpun bakal berdepan lawan lebih berpengalaman, Syamei menyifatkan kemampuan mengikat Kedah 1-1 dalam aksi sebelum ini memberi keyakinan buatnya. 

"Kami akan cuba menyesuaikan diri secepat mungkin ketika berdepan Perak yang memiliki pemain-pemain berpengalaman. 

"Apatah lagi bekas kapten Selangor, Shahrom Kalam, juga kini bersama Perak. 

"Saya harap dapat segera menyesuaikan diri dengan situasi malam esok," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video