Skip to main content

Bola Sepak

Manchester City masih terajui EPL -- Silva

silva.jpg
PALACE 0 MAN CITY 0

Bernardo Silva menegaskan adalah lebih baik untuk berada di kedudukan Manchester City ketika ini berbanding Liverpool selepas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tercicir mata berharga di Crystal Palace.


Liverpool mengurangkan kelebihan pasukan bimbingan Pep Guardiola itu di persada liga kepada tiga mata dengan kemenangan 2-0 ke atas Brighton & Hove Albion, kelmarin, dan City hanya mampu bertindak balas apabila buntu tanpa jaringan di Selhurst Park, awal pagi tadi. 

City dua kali dikecewakan oleh tiang gol melalui usaha Kevin De Bruyne dan Joao Cancelo dalam setiap babak, tetapi Palace juga mampu memberikan cabaran sengit untuk mereka berkongsi mata. 

Silva mensia-siakan dua peluang berharga apabila gagal dalam sentuhan pertama sebelum satu lagi percubaannya ketika menerima hantaran lintang rendah Jack Grealish selepas rehat tersasar.

The Reds akan menghadapi Arsenal, awal pagi Khamis ini, dan berpeluang merampas puncak EPL dalam pertembungan di Stadium Etihad, bulan depan.




Begitupun, Silva lebih senang pasukan kekal di posisi ketika ini.

“Ia adalah satu perlawanan yang sukar, kami sebenarnya beraksi dengan baik, kami mengawal permainan selain satu atau dua kali diserang,” katanya kepada Sky Sports selepas perlawanan.

"Kami gagal menjaringkan gol dan kami sepatutnya melakukannya. Ada baki sembilan perlawanan lagi tetapi ia masih lebih baik untuk berada di kedudukan kami berbanding Liverpool. Mereka juga perlu bertandang ke laman kami jadi ia akan menjadi menarik.

"Bukan mudah untuk berkunjung ke mana-mana tempat lawan EPL. Memang lebih manis untuk mengecapi kemenangan berbanding seri, kami lebih senang jika mempunyai kelebihan enam mata ke atas Liverpool."

Keputusan seri tanpa jaringan itu menamatkan rentetan 18 perlawanan liga yang menyaksikan City merekodkan jaringan sejak kekalahan 0-2 kepada kelab dari London berkenaan pada Oktober 2021.

Advertisement

Must Watch Video