BOLA SEPAK
Malaysia benam Brunei di Bukit Jalil
Skuad Harimau Malaya merakamkan kemenangan bergaya di Stadium Nasional Bukit Jalil susulan mengatasi Brunei 4-0 sebentar tadi.
Ia merupakan kemenangan kedua buat pengendali baharu, Kim Pan-gon, dan menjadi bekalan terbaik sebelum mengharungi satu lagi aksi persahabatan menentang Hong Kong di venue sama, Rabu ini.
Menentang lawan di ranking ke-191 dunia, Pan-gon memanfaatkan peluang sepenuhnya bagi menjalankan ujikaji apabila menurunkan V. Ruventhiran di bahagian pertahanan.
Iklan
Selain Ruventhiran, Pan-gon turut memberikan kepercayaan kepada beberapa pemain simpanan antaranya seperti Khairul Azhan Khalid, Syahmi Safari, Mohamadou Sumareh dan Faisal Halim untuk membarisi kesebelasan utama.
Brunei berjaya mengekang kemaraan Malaysia hanya 15 minit sehingga tandukan Syafiq Ahmad memecah kebuntuan.
Jaringan tersebut ternyata menghidupkan suasana apabila Malaysia makin selesa mencipta peluang, Syamer Kutty Abba menggandakan jaringan di penghujung babak pertama.
Sekalipun terlepas peluang meledak gol pada minit ke-50 namun Guilherme de Paula menjadi 'arkitek' untuk gol ketiga Malaysia selepas hantarannya disempurnakan Faisal pada minit ke-57.
Penutup di Stadium Nasional Bukit Jalil cukup indah disempurnakan De Paula pada minit ke-81 selepas De Paula menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 4-0.
Must-Watch Video