Skip to main content

Bola Sepak

Makelele pantau pemain akademi Chelsea

makelele.jpg
Bekas bintang Chelsea, Claude Makelele, kembali ke kelab itu sebagai mentor teknikal kepada pemain muda dan pinjaman.

Makelele, 46, menghabiskan masa lima tahun di Chelsea setelah meninggalkan Real Madrid pada 2003 dan menikmati kejayaan besar di Stamford Bridge selain menjadi pemain kesayangan peminat dan memenangi lima trofi.

Bekas pemain tengah itu pernah berkhidmat di Paris Saint-Germain (PSG), Bastia, Swansea City dan Eupen dengan memainkan pelbagai peranan sejak menggantung but. 

Jawatan terakhirnya adalah sebagai pengurus Eupen dengan membantu mereka mengelakkan penyingkiran pada musim 2017-18.

Pemergiannya diumumkan pada Jun lalu di tengah-tengah spekulasi kepulangannya ke Chelsea yang di bawah bimbingan Frank Lampard.

Semalam, Chelsea mengesahkan peranan baru Makelele dan mendedahkan beliau akan menjalinkan kerjasama yang erat dengan akademi dan pemain yang dipinjamkan keluar. 

"Saya sangat gembira dapat pulang ke 'kampung halaman'," kata bekas tonggak tengah Perancis tersebut kepada laman sesawang kelab itu.

"Kelab ini telah banyak berjasa kepada saya dan sekarang saya ingin membalasnya semula selain membantu pemain muda merealisasikan impian dalam bola sepak.

"Saya mahu menggunakan segala pengalaman yang ada untuk membantu mereka menjadi profesional dalam setiap aspek dan saya tidak sabar-sabar lagi untuk memulakannya."

Makelele akan ditugaskan untuk "menjejaki persembahan pemain secara teknikal dan memberikan maklum balas kepada perlawanan biasa".
 

Advertisement

Must Watch Video