Romelu Lukaku menuduh rakan sepasukannya seperti "bersembunyi" ketika skuad Jose Mourinho itu disingkirkan Sevilla 2-1 dalam perlawanan kedua pusingan 16, Liga Juara-Juara Eropah di Old Trafford, awal pagi tadi.
Sevilla mencapai peringkat suku akhir kejohanan itu hasil impak segera yang diberikan pemain gantian, Wissam Ben Yedder, yang menjaringkan sepasang gol.
Lukaku menemui gol lewat untuk United tetapi tuan rumah nyata gagal bangkit untuk menyertai kelompok lapan pasukan terbaik.
Dan pemain antarabangsa Belgium itu, yang menjaringkan lima gol Liga Juara-Juara musim ini dalam kekalahan itu, sangat kritikal terhadap rakan sepasukannya di United.
"Ada yang tidak kena dengan beberapa pemain, beberapa pemain bersembunyi," kata Lukaku kepada BT Sport.
"Saya fikir kami memulakan perlawanan dengan baik tetapi kami agak membiarkan mereka mengawal permainan. Kami mempunyai beberapa peluang tetapi kami tidak menyudahkannya.
"Kemudian, mereka menjaringkan gol pertama dan dari saat itu, kami berusaha mengejar, mereka seterusnya menjaringkan gol kedua yang merupakan tamparan besar bagi kami. Akhirnya kami terus memberi tekanan tetapi itu tidak mencukupi.
"Kami sepatutnya melakukan lebih baik hari ini kerana dengan kualiti yang kami ada dalam pasukan, saya fikir kami sepatutnya mara. Tetapi kami tidak berhak kerana kami tidak cukup baik.
"Kami sepatutnya menjaringkan gol pada awalnya. Hantaran akhir hari ini tidak cukup baik -- kami sentiasa berada di kedudukan tepat tetapi hantaran akhir di antara satu sama lain tidak cukup baik dan saya rasa itulah yang membunuh kami hari ini," tambahnya.
Penulis Jemputan
Wed Mar 14 2018