Romelu Lukaku tidak mengambil bahagian dalam latihan skuad Belgium kerana dalam proses pemulihan kecederaan buku lali.

Ketua jurulatih, Roberto Martinez, mendedahkan selepas merakamkan kemenangan 5-2 ke atas Tunisia bahawa Lukaku, yang menjaringkan dua gol, mengalami kecederaan ligamen buku lali pada kaki kirinya.

Penyerang Manchester United itu telah menjalani imbasan pada bahagian yang cedera dan terlepas aktiviti pasukan di Dedovsk pada hari ini. Bagaimanapun, Eden Hazard (kecederaan betis) dan Dries Mertens (kecederaan buku lali) mengambil bahagian.

Belgium telah layak ke pusingan 16 di Russia 2018 tetapi akan bersaing dengan England untuk merebut slot juara Kumpulan G di Kaliningrad, Khamis ini.

Martinez meluahkan keinginannya untuk merombak pasukan dan berkemungkinan terpaksa merehatkan Lukaku.

Vincent Kompany dijangka diturunkan berdepan England selepas pegawai perubatan memberikan lampu hijau kepadanya untuk kembali beraksi.

Kevin De Bruyne, Jan Vertonghen dan Thomas Meunier turut bakal direhatkan berdepan England kerana telah memiliki satu layangan kad kuning.