Skip to main content

Bola Sepak

Lukaku, Hazard menyinar dalam amukan Red Devils

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

lukaku.jpg
BELGIUM 5 TUNISIA 2

Romelu Lukaku dan Eden Hazard kedua-duanya menyumbat dua gol ketika Belgium membelasah Tunisia 5-2 untuk menjamin tempat mereka di peringkat kalah mati Piala Dunia Russia. 


Skuad Red Devils itu hanya memerlukan England mengelakkan kekalahan kepada Panama dalam perlawanan Kumpulan G esok untuk merebut slot terakhir dan pastinya selepas ini, skuad bimbingan Roberto Martinez itu merupakan pasukan yang mahu dielakkan dalam temasya Russia 2018 ini.

Belgium mendominasi dari awal permainan lagi apabila mendahului 2-0 dalam tempoh 16 minit pertama melalui sepakan penalti Hazard dan penyudah berbisa Lukaku.

Dylan Bronn kemudian merapatkan jurang buat negara Afrika itu untuk kembali bersaing sebelum Lukaku -- yang meledak dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Panama -- memulihkan kedudukan selesa Belgium dengan gol ketiga untuk muncul selaku penjaring terbanyak negaranya dalam kejohanan utama dengan tujuh gol.

Hazard menjaringkan gol kedua dalam babak kedua sementara pemain gantian, Michy Batshuayi, yang sebelum ini melepaskan tiga peluang keemasan, menjaringkan gol kelima pada minit ke-90. 

Wahbi Khazri kemudian mengurangkan defisit gol buat Tunisia, namun tidak menyekat kemenangan Belgium.

Sekiranya England mengatasi Panama, maka kedudukan teratas kumpulan akan ditentukan ketika skuad kendalian Gareth Southgate itu bertemu Belgium pada Khamis depan sementara Tunisia berdepan penyingkiran sekiranya Panama gagal melakar kemenangan. 



 

Advertisement

Must Watch Video