Skip to main content

Bola Sepak

Luiz, Da Silva jadi kebimbangan Kelantan

kelantan.jpg
Pemangku jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, mahu anak buahnya merantai pergerakan dua tonggak utama Perak yang sering mengucar-kacirkan setiap pasukan lawan, iaitu Wander Luiz dan Gilmar da Silva, dalam Liga Super di Ipoh, malam ini.

Yusri berkata dua pemain kelahiran Brazil itu amat berbahaya buat Kelantan ketika pemburuan mata menjadi keutamaan mereka dalam baki enam perlawanan Liga Super. 

Sehubungan itu, jelasnya, perancangan Kelantan bakal melewati perubahan ketara dalam mengekang pergerakan Perak, terutama membabitkan dua pemain tersebut.

"Pemain kami sudah biasa dengan permainan terbuka. Ia amat merisaukan saya selepas kami beraksi dalam perlawanan terakhir menentang PKNS FC (2-0). Ia terlalu terbuka hingga membolehkan PKNS masuk untuk menjaringkan dua gol mudah.

"Saya perlu meneliti perkara itu, mengecilkan ruang, terutama kepada Da Silva dan Luiz, di mana kami tahu dua pemain itu cukup berbahaya dalam kem Perak," ujarnya.

Pemain muda Kelantan sedang menggalas cabaran berat dalam memastikan pasukan kesayangan mereka bebas daripada zon penyingkiran.

Kelantan amat terdesak untuk mengutip mata tetapi dalam masa yang sama perlu berwaspada dengan Perak yang memiliki barisan matang yang mampu menghukum Kelantan menerusi kesilapan kecil.

"Kami mahu mengekalkan pasukan ini dalam Liga Super. Apabila kami mengatakan tentang perkara itu, kami perlukan mata. 

"Kehadiran kami di sini seboleh-bolehnya perlu dapatkan satu mata dan yang terbaiknya adalah tiga mata. Itu yang saya simpulkan supaya pemain lebih bermotivasi," katanya lagi.

The Red Warriors sekadar mengutip 11 mata dan menghuni tangga tercorot Liga Super musim ini.

Advertisement

Must Watch Video