PIALA DUNIA
Lopetegui: Peluang Morata ke Russia tetap ada
Alvaro Morata tetap berpeluang cerah untuk dipilih mewakili skuad Sepanyol ke Piala Dunia walaupun masih belum menjaringkan gol tahun ini dan tidak disenaraikan bagi aksi persahabatan.
Perkara itu disahkan oleh pengurus La Roja, Julen Lopetegui, selepas penyerang Chelsea itu menjadi antara nama yang disihkan menjelang aksi persahabatan antarabangsa menentang Jerman dan Argentina pada 23 dan 27 Mac ini.
Pemain lain yang turut gagal mendapat tempat dalam pilihan Lopetegui kali ini adalah rakan sepasukan Morata di bawah kendalian Antonio Conte, Cesc Fabregas, serta Javi Martinez, namun pertahanan kiri, Marcos Alonso, disenaraikan.
Iklan
Pemain tengah Villareal, Rodri, dan kapten Valencia, Dani Parejo, juga berada dalam skuad Sepanyol buat pertama kali tetapi Lopetegui menegaskan pintu masih terbuka untuk Morata kembali menyarung jersi skuad kebangsaan.
“Esok bukan aksi Piala Dunia. Terdapat beberapa pemain yang tidak disenaraikan tetapi masih berpeluang untuk menyertai pasukan ke Russia. Kami sedang mengenal pasti pemain,” kata Lopetegui.
“Morata berdepan beberapa masalah, membuatkannya tidak beraksi secara kerap tetapi saya pasti dia akan melalui penutup musim yang baik dan berpeluang untuk menyertai Sepanyol ke Piala Dunia.
“Kami berasakan bahawa ini waktu terbaik untuk memberi ruang kepada muka baru. Mereka berada pada prestasi terbaik tetapi ada juga pemain yang layak walaupun tidak disenaraikan.
“Parejo dan Alonso berada pada waktu terbaik untuk dipanggil dan kami gembira menyaksikan mereka bersaing. Kami juga menyukai Rodri kerana dia seorang pemain yang sempurna. Segala laporan mengenainya sentiasa positif,” tambahnya.
Dalam masa sama, penyerang kelahiran Brazil, Diego Costa, kembali dipanggil untuk membarisi skuad La Roja susulan aksi cemerlang menjaringkan enam gol sejak kembali ke Atletico Madrid pada Januari lalu.
“Apabila Costa beraksi, dia merupakan sebahagian daripada kami dan dia kemudian berhenti. Kini, dia telah muncul semula tetapi itu belum menjamin tempat dalam Piala Dunia,” tambahnya.
Sepanyol bakal memulakan saingan di Russia menentang Portugal pada 15 Jun, sebelum meneruskan aksi bertemu Iran dan Maghribi.
Must-Watch Video