Skip to main content

Bola Sepak

Liverpool tunjuk petanda positif -- Jurgen Klopp

klopp.jpg
Jurgen Klopp berasakan Liverpool telah membuat satu penyataan dalam kemenangan 'derby' Merseyside ke atas Everton. 

Kemenangan 2-0 itu menawarkan kelegaan yang teramat buat pengurus tersebut ketika The Reds meraih kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama mereka tahun ini selepas perlawanan kelima apabila mempamerkan penguasaan penuh ketika bertemu lawan yang diancam penyingkiran berkenaan di Anfield, awal pagi tadi. 

Mohamed Salah menyambut hantaran Darwin Nunez untuk membuka jaringan dalam separuh masa pertama disusuli sentuhan pemusnah Cody Gakpo pada awal babak kedua untuk menggandakan kedudukan.

Klopp turut mengetengahkan Diogo Jota dan Roberto Firmino yang kembali cergas sebagai pemain gantian dalam baki permainan ketika meraih kemenangan ke-250 sebagai pengurus Liverpool, manakala Virgil van Dijk kembali di bangku simpanan sebaik pulih daripada kecederaan hamstring.

Sehubungan itu, pengendali Jerman tersebut berharap pasukannya kini boleh mula mencatat rentak kemenangan selepas permulaan buruk pada tahun ini untuk memanjat ke tangga kesembilan, sembilan mata di belakang pasukan tangga keempat, Newcastle United, menjelang kunjungan ke St James' Park, Ahad ini. 

Dia memberitahu BBC Sport: "Rasanya seperti diri sendiri (semula). Keputusan ini amat sangat melegakan. Malam ini semua orang akan makin percaya kepada kemampuan kami semula. Kami perlu teruskannya.

"Persembahan ini adalah satu penyataan daripada kami bahawa kami mampu melakukannya. 

"Kami perlu memperagakan corak permainan tersendiri dan ia berlaku selama 95 minit, itulah sebabnya kami berhak mengutip mata.

"Untuk keluar daripada situasi bergelut, kami memerlukan persembahan yang jitu. Saya melihat keyakinan yang sama tetapi kami perlu membuktikannya. Kami perlu terus berjuang."


 

Dia menambah: "Kami bernasib baik kerana percubaan Tarkowski terkena tiang. Kemudian Darwin melakukan pecutan bertenaga. 

"Gol kedua juga melalui satu serangan balas yang hebat. Kami begitu dominan. Saya tidak tahu berapa angkanya tetapi ia pastinya 70 peratus penguasaan.

"Keseluruhan persembahan ini sangat penting bagi kami kerana kami perlu membuat satu penyataan."


 

Advertisement

Must Watch Video