Skip to main content

Bola Sepak

Liverpool tiada misi balas dendam

klopp.jpg
Jurgen Klopp menegaskan bahawa misi membalas dendam tiada dalam fikiran Liverpool menjelang aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang Real Madrid, awal pagi esok. 

Perlawanan di Santiago Bernabeu itu akan menjadi pertembungan pertama kedua-dua pasukan sejak berselisih dalam final 2018, yang menyaksikan Madrid menang 3-1 untuk menjulang trofi buat musim ketiga berturut-turut. 

Liverpool kemudian memadam kehampaan itu di Kiev pada musim berikutnya dengan mengalahkan Tottenham dalam final dan sedang memburu kejuaraan ketujuh.

Hampir tiga tahun berlalu sejak Gareth Bale meledak dua gol untuk membenam Liverpool, Klopp menganggap dia dan skuadnya telah melupakan kekalahan itu. 

"Kami tidak berkunjung dan mengintai untuk membalas dendam di sini. Inilah kehidupan. Saya tidak terlalu percaya dengan dendam tetapi pasti akan seronok untuk melepasi peringkat ini," katanya dalam sidang akhbar. 

"Kami berasakan sedang melalui saat yang baik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL). Kami berharap dapat mengekalkan momentum itu. Ia pasti akan sangat membantu.

"Motivasi kami berada di tahap tertinggi kerana ini adalah UCL dan kami ingin mara ke pusingan seterusnya, ia tidak ada kaitan dengan 2018.

"Tetapi memandangkan kami diundi dan ini pula kali pertama kami berdepan sejak pertemuan itu, memang saya terkenangkan perlawanan tersebut."


 


Salah satu perkara penting dalam perlawanan itu ialah kekasaran awal Sergio Ramos ke atas Mohamed Salah yang memaksa penyerang Mesir tersebut dikeluarkan akibat kecederaan.

Klopp menambah: "Dalam sidang media mungkin sebulan kemudian, saya ditanya sama ada saya akan menjemput Sergio Ramos ke pesta ulang tahun kelahiran saya yang ke-60, saya menjawab tidak.

"Kini saya akan mempertimbangkannya. Bukanlah kerana dia seorang pemain yang hebat tetapi saya meluahkannya kerana saya tidak menyukai apa yang berlaku pada malam itu, bagi kami ia adalah satu malam yang pelik.

"Ia sudah lama berlalu jadi saya tidak dapat mengembalikan perasaan marah itu, malah saya tidak cuba (untuk mengembalikan kemarahan itu). Apa yang saya cuba buat ialah mempersiapkan pasukan saya untuk esok bagi membuktikan betapa bagusnya kami sebagai sebuah pasukan bola sepak."

Advertisement

Must Watch Video