Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Bola Sepak

Liverpool tawar sokongan kesihatan mental buat penyokong selepas insiden final UCL

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

liverpool-fans_.jpg
Liverpool menyediakan khidmat sokongan kesihatan buat penyokongnya yang menghadiri perlawanan final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Paris selepas berlaku kekecohan di luar Stade de France pada hari perlawanan itu.

Liverpool tewas 0-1 kepada Real Madrid dalam aksi final itu hujung minggu lalu, di mana perlawanan itu tertunda selama lebih 30 minit gara-gara penyokong The Reds bergelut untuk memasuki stadium berkenaan.

Pihak berkuasa Perancis dan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) selepas itu memaklumkan bahawa insiden itu berlaku adalah disebabkan penjualan tiket palsu atau ada yang menghadiri perlawanan itu tanpa tiket.

Rakaman video menunjukkan gas pemedih mata dan semburan lada telah digunakan ke atas penyokong di luar stadium dengan ramai di antara mereka menunjukkan tiket sah yang dimiliki tetapi tidak dibenarkan untuk memasuki stadium.

Ketika insiden itu masih menjadi perbualan ramai, termasuk ahli politik Perancis, dan UEFA sendiri telah memulakan siasatan penuh, Liverpool mengambil inisiatif dengan menawarkan khidmat sokongan kesihatan mental buat penyokong mereka yang mungkin memerlukannya.

Satu kenyataan yang dikeluarkan kelab itu berkata: "Insiden yang berlaku di sekeliling Stade de France, sebelum dan selepas sepak mula pada hujung minggu lalu, akan kekal di memori untuk tempoh yang lama bagi sebab yang tidak sepatutnya.

"Kelab Bolasepak Liverpool mahu penyokong tahu bahawa khidmat pakar ada disediakan oleh kami."

Kenyataan itu turut menyenaraikan khidmat pakar tempatan dan nasional yang boleh didapatkan penyokong mereka selain meminta pihak yang terkesan agar mengisi borang maklum balas bertujuan untuk mengumpulkan bukti bagi siasatan kes berkenaan.

"Kelab ini juga telah memohon secara rasmi satu siasatan formal dan telus mengenai isu yang dihadapi penyokong di Paris.

"LFC juga meminta penyokong yang menghadiri perlawanan itu untuk mengisi borang maklum balas bagi menyokong segala siasatan terhadap pengurusan operasi acara itu," tambah kenyataan itu.
 

Advertisement

Must Watch Video