Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Lindelof tidak berdendam dengan Mourinho

victorlindelof.jpg
Victor Lindelof berkata dia tidak berdendam dengan bekas pengendali Manchester United, Jose Mourinho, ketika memuji Ole Gunnar Solskjaer kerana menghadirkan impak di Old Trafford.

Mourinho dipecat Disember lalu dan terdapat laporan mengenai persefahaman yang gagal dicapai oleh pengurus itu dan barisan pemain sebelum digantikan oleh Solskjaer, yang sekadar tewas satu perlawanan dalam semua kejohanan.

Lindelof menyertai United selepas dibawa masuk oleh Mourinho pada 2017 tetapi pertahanan Sweden itu diketepikan kerana pengurus kelahiran Portugal itu mahukan pertahanan tengah yang baru.

Pemain berusia 24 tahun itu mempamerkan aksi berkualiti sejak kekal dalam kesebelasan utama Solskjaer dan dia tidak mempunyai sebarang dendam terhadap Mourinho.

"Saya akan sentiasa menghargai jasa Mourinho," kata Lindelof. "Dia yang membawa saya masuk ke dalam United. Ketika dia mahu mendapatkan pertahanan lain, saya akur. Saya sangat sukakan persaingan.

"Saya sangat bertuah kerana memiliki kekuatan mental yang tinggi untuk menghadapi setiap tekanan. Bukan mudah untuk menyesuaikan diri dengan kelab baru. 

"Apabila Solskjaer hadir ke dalam pasukan, saya hanya menonjolkan kebolehan saya dan mungkin saya telah melakukannya. Dia memilih saya dan saya berjaya mencari rentak," ujarnya.

United berada di landasan terbaik sejak Solskjaer dilantik sehingga penghujung musim ini, dengan The Red Devils masih belum tewas dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan ketinggalan satu mata daripada kelompok empat terbaik menjelang aksi berdepan Southampton.

Satu-satunya kekalahan pasukan di bawah bimbingan Solskjaer itu hadir menerusi aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) ketika berdepan Paris Saint-Germain (PSG) bulan lalu.

Hanya tewas satu perlawanan selepas 15 perlawanan di bawah kendalian Solskjaer dan apabila ditanya perubahan yang dilakukan oleh pengendali kelahiran Norway itu, Lindelof berkata, "Beliau datang dengan satu semangat yang baru. Mendengar apa yang dikatakannya mengenai bola sepak adalah satu inspirasi.

"Senyuman sentiasa terukir di wajahnya sejak tiba di Old Trafford. Beliau menjelaskan makna bermain untuk kelab ini. Solskjaer telah membantu kami untuk mempercayai kebolehan kami sekali lagi."
 

Advertisement

Must Watch Video