Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: Vera sukar percaya Kelantan dibelasah Terengganu

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kelantan-vs-terengganu.jpg
Ketua jurulatih Kelantan FC, Alfredo Vera, mengakui sukar untuk percaya Kelantan FC dibelasah Terengganu FC (TFC) 0-8 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Isnin lalu.

Menurutnya, pemain The Red Warriors (TRW) telah beraksi dengan baik tetapi gagal menyaingi rentak TFC, yang mempunyai kualiti lebih tinggi.

“Kami sudah beraksi dengan baik tapi tidak boleh menyaingi (Terengganu). Selepas kena beberapa gol, mental pemain juga mulai terjejas,” katanya.

Dalam perlawanan berkenaan, penyerang TFC, Ivan Mamut, meledak hatrik dan masing-masing satu gol menerusi Nurillo Tukhtasinov, Nik Sharif Haseefy, Engku Nur Shakir, Safwan Mazlan dan Hakimi Abdullah.

Dalam pada itu, Vera turut mengakui TRW bakal berdepan masalah besar dengan ketiadaan import baru apabila dijadualkan bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi aksi kedua Pusingan 16 Piala Malaysia pada Sabtu ini.

“Kami harus fokus dan guna pemain muda yang ada untuk lawan seterusnya iaitu, pasukan yang kuat, Johor Darul Ta'zim,” katanya.

Sebelum ini, Kelantan FC dilaporkan menandatangani empat import baharu, Aliakbar Ahmadi, Allie Sisse, Ahmed Magdy dan Dennis Buschening, namun pendaftaran pemain berkenaan ditolak oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Sementara itu, pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner, mengakui gembira dengan kemenangan besar itu, sekali gus meningkatkan moral skuad Penyu berkenaan.

“Perlawanan itu tidak begitu sukar, namun tidak mudah juga untuk buat jaringan tapi Sony (Sony Norde) banyak buat hantaran dan pemain import banyak membantu.

“Saya juga gembira dengan beberapa pemain muda yang bermain dengan baik,” katanya.

Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video