LIGA SUPER MSIA
Liga Super: Selangor kukuh kedudukan di tangga kedua, Sabah belasah Sri Pahang
SELANGOR FC 3 PENANG FC 0
Selangor FC mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super apabila menewaskan Penang FC 3-0 di Stadium Petaling Jaya sebentar tadi.
Tonggak tengah, Noor Al-Rawabdeh, membuka jaringan Gergasi Merah pada minit ke-29 apabila menyudahkan lintangan Ayron del Valle meskipun Faisal Halim terlepas peluang lebih awal.
Iklan
Penggempur baru, Richmond Boakye, kemudian menambah derita Penang dalam babak kedua dengan gol pertamanya bersama Selangor hasil penyudah lintang leret selepas menerima lorongan Yohandry Orozco pada minit ke-59.
Malam gemilang Selangor dilengkapkan dengan jaringan Faisal, yang mempamerkan gerakan solo menarik sebelum meledakkan jaringan ketiga The Red Giants.
Kukuhnya kedudukan Selangor di tangga kedua turut dibantu oleh kekalahan besar 0-4 pencabar terdekat, Sri Pahang FC, kepada Sabah FC.
Penyerang negara, Darren Lok, muncul pemain paling cemerlang dengan gol berganda, masing-masing pada minit kesembilan dan ke-64, sambil Ramon Machado (m-43) dan Stuart Wilkin (m-69) turut menemui sasaran.
Kemenangan itu turut menjadi hadiah perpisahan terbaik buat ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar, yang mengumumkan akan meninggalkan Sabah selepas perlawanan kali ini.
Keputusan hari ini menyaksikan Selangor kekal di tangga kedua dengan 37 mata, 14 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim FC (JDT), manakala Sri Pahang pula tergelincir di tangga keempat dengan 34 mata -- berkongsi mata yang sama dengan pasukan di tangga ketiga, Kedah Darul Aman FC, dan satu mata di atas Sabah FC.
Must-Watch Video