Selangor terus memperkuatkan pasukan menjelang musim 2024/25 dengan yang terbaru mengumumkan bahawa mereka sah mengikat pemain sayap baru dari Cape Verde.

Gergasi Merah mengumumkan kemasukan pemain baru sepanjang tiga hari berturut-turut bermula dengan pertahanan skuad kebangsaan Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov, disusuli penyerang yang bakal menggantikan tempat Ayron Del Valle, Ronnie Fernandez, dari Chile.

Terbaru, Selangor FC mengumumkan bahawa mereka sah mengikat pemain sayap Cape Verde, Alvin Fortes.

Menurut Selangor FC, pemain kelahiran Belanda berusia 29 tahun itu memiliki kelajuan yang baik dan mempunyai pengalaman beraksi dalam liga Thailand selama dua musim bersama Nongbua FC dan Ratchaburi FC dari 2022 hingga 2023.

Secara keseluruhan, Fortes telah membuat 38 penampilan, 13 bersama Nongbua FC dan 22 bersama Ratchaburi FC serta 11 jaringan gol.

"Selangor FC berharap Alvin Fortes dapat menambah kekuatan di bahagian sayap pasukan Gergasi Merah untuk Liga Malaysia musim 2024/2025 dan saingan ACL 2 2024. Selamat datang, Fortes!" kata Selangor FC dalam kenyataan itu.