Dilema isu gaji menjadi topik bualan hangat pertembungan di antara kelab Kuala Lumpur City dan Kedah Darul Aman dalam saingan minggu ke-10 Liga Super Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi.
Kendatipun, pasukan tuan rumah tampil lebih berkesan selepas meraih kemenangan besar 5-0 rentetan tidak mahu kehilangan mata susulan penolakan enam mata yang diputuskan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini.
"Saya menganggap perlawanan tersebut sebagai medan kami memperbaiki sistem pasukan, sekali gus menjadikannya sebagai persiapan menghadapi aksi seterusnya kerana pemain tidak perlu mengerahkan sepenuhnya kudrat menentang ketika skuad muda ini," kata ketua jurulatih The City Boys, Miroslav Kuljanac.
Sementara itu, Nafuzi Zain hanya mampu tersenyum mendengar soalan dari wartawan ketika sesi sidang media praperlawanan sambil mengakui keadaan semakin membimbangkan apabila kehilangan hampir keseluruhan pemain utama skuad Sang Kenari.
"Mungkin ini adalah satu proses untuk saya belajar menghadapi pasukan yang sedang bermasalah sebagai pengalaman tatkala persoalan buat diri sendiri, 'sampai bilakah saya mampu mengharungi situasi sebegini?'
"Sebagai jurulatih, sudah semestinya kami mahukan pasukan terbaik daripada segala aspek tetapi saya anggap ini adalah kekangan yang perlu saya terima walaupun pahit untuk dilalui," luahnya.
Najmi Iman
Sun Sep 15 2024