Sabah terpaksa melupakan khidmat empat tonggak apabila melayan kunjungan pasukan berprofil tinggi, Selangor, dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas malam ini.
Khidmat Park Tae-soo, Gabriel Schmegel Wotter Peres, Stuart John Wilkin dan Miguel Angel Garrido Cifuentes masih tidak dapat digunakan The Rhinos, yang masih segar dengan kemenangan 3-2 ke atas Sri Pahang di Stadium Temerloh pada 9 Ogos lalu.
Mengakui kesempatan itu akan dimanfaatkan The Red Giants, yang menewaskan Kelantan Darul Naim 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 10 Ogos lalu, ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee, juga percaya keputusan positif di bumi Bawah Bayu itu penting buat anak buah Nizam Jamil berkenaan sebelum berdepan penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT), dalam perlawanan akhir Piala FA pada 24 Ogos ini.
"Kami percaya Selangor akan memanfatkan pertemuan ini untuk mencatat keputusan positif sebagai motivasi penting sebelum beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA.
“Bagi Sabah pula, kemenangan menentang Sri Pahang di Temerloh sangat positif untuk kami bersiap sedia memberikan tentangan kepada Selangor malam esok.
“Kita juga tahu Selangor mendapat kemenangan ketika beraksi di luar sebelum ini dan layak ke final Piala FA dan sudah pasti lawan itu akan memberikan cabaran sengit beraksi di Kota Kinabalu,” katanya.
Biarpun begitu, Kim Swee percaya bermain di Likas akan memberikan nilai tambah kepada The Rhinos, namun tidak mahu pemain-pemain pasukan tuan rumah itu memandang rendah keupayaan lawan.
“Kita juga tahu berdasarkan rekod, Sabah mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri dengan sokongan padu penyokong.
“Apa yang penting semua pemain perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal, sekali gus memberikan komitmen penting untuk mencapai keputusan positif,” kata Kim Swee.
Sabah kini menduduki tangga keempat liga setelah mengumpul 13 mata selepas mengharungi tujuh perlawanan manakala Selangor kedua dengan 16 mata tetapi sudah beraksi lebih satu perlawanan.
--Sinar Harian
Stadium Astro
Tue Aug 13 2024