Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: Sabah duduki tangga teratas selepas tewaskan Sri Pahang

sabah.jpg
SABAH FC 2 SRI PAHANG 1

Sabah FC melonjak ke tangga teratas Liga Super selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-1 di Stadium Likas sebentar tadi.

Gol daripada Neto Pessoa dan Taiki Kagayama dalam babak pertama sudah cukup untuk memberikan tiga mata berharga buat skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee berkenaan sambil jaringan penalti Manuel Hidalgo dalam separuh masa berikutnya sekadar menjadi gol sagu hati buat Tok Gajah.

Pessoa meletakkan Sabah di depan seawal minit ke-10 dengan menolak masuk lintangan cantik Tommy Mawat Bada dari sebelah kiri.

Lapan minit berselang, Kagayama mencuri bola daripada pertahanan lawan, Azwan Aripin, sebelum melakukan gerakan solo menarik untuk menewaskan Zarif Irfan Hashimuddin dengan rembatan kaki kirinya, sekali gus memberikan Sabah kelebihan dua gol menjelang ke bilik persalinan.

Sabah kemudian memperoleh sepakan penalti pada awal babak kedua selepas bola terkena tangan Sherzod Fayziev tetapi sepakan Baddrol Bakhtiar melambung tinggi.

Sri Pahang akhirnya merapatkan jurang selepas sejam permainan apabila Hidalgo menyempurnakan sepakan penalti berikutan insiden Rizal Ghazali menjatuhkan Sean Gianneli.

Ketika wakil Borneo itu berpeluang untuk melebarkan kelebihan apabila diberikan satu lagi sepakan penalti selepas Gary Steven Robbat dijatuh Gianneli, sepakan Pessoa pula diselamatkan Zarif Irfan untuk keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat.

Dengan kemenangan itu, Sabah muncul pendahulu Liga Super dengan 18 mata selepas lapan perlawanan, dua mata mengatasi juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), yang memegang kelebihan dua perlawanan dalam tangan.
 

Keputusan lain: 
Penang FC 1 Petaling Jaya City FC 1
Melaka United 0 Negeri Sembilan 0
Terengganu FC 2 Kuala Lumpur City FC 0
 

Advertisement

Must Watch Video